KLUANG: Isu harga barang dan kos sara hidup yang tinggi antara rintihan para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota kepada calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar semasa kempen.
Justeru, para peniaga dan pengundi yang meminta beliau mengangkat isu tersebut supaya diatasi segera kerana sudah tidak tahan dengan bebanan yang dilalui.
“Rata-rata mereka mahukan perubahan, ada yang kata tidak tahan lagi dengan kerajaan sedia ada, tolong tukar kerajaan yang ada.
“Peniaga makanan kata kos barang mahal, mahu berniaga untung RM200 sehari dan mahu balik modal pun susah, kalau jual mahal nanti takut orang marah.
“Pengundi pula kata tidak boleh tahan dengan kos sara hidup tinggi, mahu makan pun susah,” katanya ditemui selepas melawat Bilik Gerakan Nexbyte PN bagi PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu, di sini semalam.
Ditanya tentang sambutan selepas dua hari berkempen, Mohamad Haizan yang popular dengan panggilan ‘Coach Haizan’ mengakui lega dan gembira dengan penerimaan masyarakat Mahkota yang amat positif.
Menurutnya, pengalaman sebagai bekas Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Kluang (MPK) selama dua tahun hingga 2022 dan Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga Zon Kluang hingga kini banyak membantunya mendekati masyarakat dan pengundi. – UTUSAN






