PETALING JAYA: Kerajaan disaran mempertimbangkan pemberian subsidi pendidikan kepada pelajar daripada golongan kaya berdasarkan merit atau prestasi akademik dan bukannya berdasarkan status kewangan semata-mata.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hassan berkata, cadangan kerajaan untuk menghentikan subsidi pendidikan perlu dilihat sebagai positif namun perlu memastikan kepentingan pendidikan berkualiti tidak terjejas.
Katanya, jika langkah ini mampu memberi manfaat kepada kumpulan sasar, ia perlu diperincikan dengan teliti terutama bagi sekolah-sekolah terpilih seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang mempunyai pelajar cemerlang.
“Walau bagaimanapun, kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian bantuan kepada pelajar golongan T20 berdasarkan merit atau prestasi akademik dan bukan hanya berdasarkan status kewangan semata-mata dan terus mengekalkan subsidi penuh bagi golongan B40.
“Keutamaan kerajaan pada masa ini adalah untuk meningkatkan akses pendidikan dan menaik taraf infrastruktur digital dan fizikal bagi merapatkan jurang pendidikan serta menangani isu sekolah daif di seluruh negara,” katanya kepada Nexbyte.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi bayangan kerajaan akan menilai semula peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan yang selama ini dinikmati golongan mahakaya.
Perkara itu antara yang diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan agar pemberian subsidi itu hanya diberikan kepada golongan miskin dan benar-benar layak.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, mekanisme penilaian subsidi perlu lebih telus dan adil bagi memastikan kelayakan penerima terutama dalam kalangan golongan berpendapatan tinggi yang mengelak membayar cukai.
“Ukuran kelayakan subsidi berdasarkan pendapatan per kapita juga wajar dikaji semula untuk memastikan hanya golongan yang benar-benar berhak menerima bantuan.
“Kerajaan mempunyai tanggungjawab sosial untuk mengurangkan beban subsidi pendidikan tanpa menjejaskan mana-mana pihak. Dengan jumlah pelajar yang besar (lima juta orang), tenaga pengajar (430,000 orang) dan sekolah yang banyak (10,253 buah), sektor pendidikan memerlukan peruntukan yang tinggi,” jelasnya.
Pada masa sama, pembangunan prasarana pendidikan harus melibatkan sumbangan daripada syarikat milik kerajaan (GLC) dan sektor swasta untuk menangani kekurangan peruntukan.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diperincikan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga mengenai kelayakan subsidi pendidikan.
“Kriteria tersebut pastinya tidak bersifat tetap kerana keadaan kewangan ibu bapa atau penjaga boleh berubah dari masa ke masa malah perlu diambil kira tanggungan serta sumbangan wajib yang perlu diselaraskan dengan pendapatan keluarga.
“Pendapatan Bersih Domestik (DNI) sesebuah keluarga perlu dinilai dengan teliti serta potongan seperti zakat, cukai, infaq, wakaf dan sumbangan wajib lain perlu diambil kira dalam pengiraan pendapatan,” katanya. – UTUSAN






