PETALING JAYA: Tempoh dua jam 48 minit sepanjang penguatkuasaan undang-undang tentera di Korea Selatan, merupakan keadaan yang amat panik di mana rakyat negara itu berhadapan kegelisahan tentang masa depan mereka.
Malah, lebih mengejutkan sepanjang pelaksanaan undang-undang itu, perintah berkurung dikuatkuasakan serta-merta dengan mana-mana individu termasuk warga asing yang berada di negara itu tidak dibenarkan bergerak ke mana-mana atau keluar negara.
Menceritakan pengalaman itu, rakyat Malaysia di Korea Selatan, Nuryana Mohamed Asri, 24, berkata, dia dan rakan-rakan lain terkejut dengan perintah tersebut yang dilakukan secara tiba-tiba sekali gus menyebabkan mereka panik dan bimbang dengan keselamatan mereka.
Meskipun tidak berdepan sebarang ancaman keselamatan, namun dia bimbang dengan nasib dirinya kerana mereka tidak dibenarkan keluar dari Korea Selatan dan pulang ke Malaysia kerana undang-undang tentera menetapkan larangan ke luar negara.
Katanya, keadaan bertambah kucar-kacir apabila menyaksikan sendiri pergerakan anggota pasukan keselamatan di samping helikopter yang berlegar-legar di Seoul untuk memantau suasana.
“Agak panik juga dalam tempoh ini kerana ketika undang-undang ini dikeluarkan, saya berada di rumah. Tiba-tiba Presiden Korea Selatan mengeluarkan arahan ini dan menyebabkan saya menerima panggilan khususnya keluarga dari Malaysia yang bertanyakan perkembangan semasa.
“Dapat pula maklumat bahawa warga asing dikenakan perintah berkurung dan tidak boleh keluar negara, maka bertambah panik dan gelisah dengan nasib kami dan apakah yang akan terjadi selepas undang-undang tentera ini diputuskan.
“Padahal saya baharu beli tiket untuk balik Malaysia. Situasi ini sekali gus menambah kebimbangan tentang keselamatan kami di sini sama ada boleh balik ke tanah air atau tidak,” katanya kepada Nexbyte.
Kelmarin, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera dan mendakwa parti pembangkang terlibat dalam aktiviti anti-negara yang merancang pemberontakan.
Langkah ini diambil selepas pembangkang, Parti Demokratik (DP) meluluskan rang undang-undang pengecilan belanjawan dalam Jawatankuasa Belanjawan Parlimen, selain mengemukakan usul pendakwaan terhadap seorang juruaudit negara dan ketua pendakwa raya.
Bagaimanapun beliau menarik balik undang-undang tentera yang diisytiharkan sebelum ini dalam satu mesyuarat Kabinet tidak sampai tiga jam.
Nuryana yang menetap di Seoul selama lebih enam tahun berkata, keadaan kini kembali pulih selepas perintah tentera itu ditarik semula dalam tempoh beberapa jam selepas menerima bantahan besar-besaran khususnya dalam kalangan ahli Parlimen Korea Selatan.
Beliau bersyukur orang ramai kini boleh bergerak bebas menjalani urusan harian termasuk bekerja dan pergi sekolah.
“Lebih menggembirakan penarikan undang-undang tentera ini memberi peluang untuk saya pulang ke Kuala Lumpur dengan selamat.
“Saya tidak boleh sentuh sangat berkenaan situasi politik yang berlaku di Korea, namun tempoh dua jam ini amat mendebarkan apatah lagi memikirkan tentang nasib warga asing seperti kami yang mencari rezeki di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, rakyat Malaysia yang menetap atau melawat Korea Selatan dinasihati mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Bagi memastikan maklumat terkini dan bantuan tepat pada masanya, rakyat Malaysia di Korea Selatan dinasihatkan untuk mendaftar melalui E-Konsular,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN






