KUALA LUMPUR: Negara rugi hingga RM20 bilion setahun akibat nahas jalan raya yang mengakibatkan lebih 6,000 kematian pada 2023.
Jumlah kematian dijangka meningkat setiap tahun mengambil kira pertambahan kenderaan yang menyumbang kepada peningkatan kemalangan.
Pada 2023, 598,635 kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara, berbanding 545,588 kemalangan pada 2022 dengan 6,080 kematian, dan 370,286 kemalangan dengan 4,539 kematian (2021).
Jumlah kerugian yang dialami itu termasuk kos rawatan, perubatan, kehilangan produktiviti dan kerosakan harta benda.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, jumlah itu berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) melibatkan kerugian yang ditanggung akibat kemalangan semasa musim perayaan.
Malah, katanya, kerugian harian juga mampu mencecah RM2 juta hingga RM3 juta sehari dengan setiap kematian membebankan ekonomi negara sekitar RM2.4 juta.
“Angka ini menunjukkan betapa kritikalnya isu keselamatan jalan raya dan keperluan untuk melabur dalam langkah pencegahan.
“Bagaimanapun, dengan pelaksanaan strategi yang lebih komprehensif, negara berpotensi mengurangkan kadar kemalangan sekurang-kurangnya 30 peratus dalam tempoh lima tahun.
“Ia sekali gus mampu menjimatkan kos besar yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya akibat kemalangan yang boleh dicegah,” katanya kepada Nexbyte.
Musim perayaan Aidilfitri tahun lalu memperlihat sebanyak 14,394 kes kemalangan jalan raya dilaporkan dengan 136 kematian, menunjukkan penurunan berbanding 2023 yang mencatat lebih 20,000 kes kemalangan dan 200 kematian.
Tambah Dr. Law, terdapat keperluan untuk memperketat pemeriksaan kenderaan bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Jelasnya, pemeriksaan berkala wajib perlu diperluaskan bukan hanya untuk kenderaan berat tetapi juga kenderaan persendirian khususnya kenderaan berusia lebih 10 tahun.
“Sistem insentif seperti potongan cukai jalan untuk kenderaan yang lulus pemeriksaan keselamatan boleh diguna pakai, manakala hukuman lebih berat seperti denda tinggi dan pembatalan lesen perlu dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang cuai.
“Langkah-langkah ini dapat memastikan hanya kenderaan yang selamat dan roadworthy dibenarkan berada di jalan raya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri berkata, cadangan mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) secara berperingkat di semua kendaraan mampu meningkatkan keselamatan jalan raya serta mendisiplinkan pengguna.
“Pemasangan dashcam bukan sahaja dapat merakam salah laku pemandu malah mampu memberi kesan psikologi kepada pemandu supaya lebih berhati-hati di jalan raya.
“Selain itu, penggunaan dashcam juga dapat membantu pihak berkuasa seperti polis dalam mengesan kesalahan trafik seperti pemandu yang memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat, atau memandu secara berbahaya.
“Rakaman daripada penggunaan dashcam juga, boleh menjadi bukti kukuh untuk tuntutan insurans atau siasatan forensik selepas kemalangan,” katanya. – UTUSAN






