PETALING JAYA: Kegiatan skim penipuan pelaburan ‘Ponzi Scheme’ atau Pelaburan MBI berpusat di negara jiran, tumpas selepas polis menyita dan membekukan aset bernilai RM3.17 bilion hasil penahanan lapan individu termasuk empat bergelar Datuk, bulan lalu.
Tindakan rentas negara pada 20 Mac lalu itu dilaksanakan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman menerusi Op Northern Star, hasil maklumat red notice daripada Polis Antarabangsa (Interpol).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lapan warga tempatan termasuk seorang wanita, berusia 44 hingga 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan Skim Ponzi, penipuan yang menjanjikan pelaburan berlipat kali ganda dalam jangka masa panjang kepada mangsa.
Katanya, antara yang ditahan termasuk dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk.
“Menerusi beberapa siri serbuan itu, Pasukan Amla berjaya membekukan dan menyita aset di bawah Seksyen 44(1) serta Seksyen 45(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001 berjumlah RM3.17 bilion.
“Antara aset yang dirampas dan dibekukan adalah 638 akaun bank dan akaun saham berjumlah lebih RM1.16 bilion serta 35 unit hartanah dianggar bernilai lebih RM2 bilion,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Pada peringkat awal, pelabur-pelabur terawal akan dibayar bahagian keuntungan seperti yang dijanjikan. Setiap pelabur baharu yang dibawa masuk pula akan dibayar komisyen tambahan.
Ia menyebabkan setiap individu yang menyertai pelaburan itu akan bergiat aktif mencari pelabur baharu.
Realitinya, keuntungan dan komisyen yang dibayar bukanlah diperolehi daripada keuntungan pelaburan. Sebaliknya, keuntungan diperoleh daripada wang pelaburan para pelabur baharu.
Razaruddin berkata, turut dirampas sebanyak 10 buah kenderaan mewah selain jam tangan mewah (13 utas) dan wang tunai pelbagai mata wang asing dan ringgit, dua unit barang kemas, enam telefon bimbit, dua komputer riba, empat beg tangan mewah serta pelbagai dokumen penting.
Tambah beliau, semua harta dan barangan terbabit dipercayai hasil perolehan haram berkaitan aktiviti penipuan pelaburan berkenaan.
Kata beliau, kesemua suspek telah direman antara satu hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan siasatan terhadap mana-mana individu atau entiti yang disyaki terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyi, memindah, mengubah, menukar, membawa masuk atau keluar, menggunakan atau melupuskan hasil perolehan haram daripada aktiviti penipuan pelaburan terbabit.
“Dalam usaha membanteras jenayah pengubahan wang haram di negara ini, PDRM menasihatkan masyarakat agar berwaspada dengan sebarang aktiviti mencurigakan,” jelasnya.
Tambah beliau, mana-mana individu mempunyai maklumat berkaitan jenayah itu diminta bekerjasama dengan pihak berkuasa. – UTUSAN



