BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 788 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip dari Sungai Juru di sini dalam tempoh tiga jam sahaja.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negri, Ooi Soon Lee berkata, menerusi program gotong royong membersihkan sungai tersebut baru-baru ini termasuklah botol minuman plastik dan pek pembungkus makanan.
“Dalam tempoh hanya tiga jam sahaja, kita berjaya membawa naik sebanyak 788kg sampah sarap domestik termasuk botol minuman plastik, pek pembungkus makanan, kotak serta plastik sampah sepanjang lima kilometer di Sungai Juru ini,” katanya kepada Nexbyte.
Soon Lee berkata, meskipun jumlah kutipan sampah di Sungai Juru telah berkurangan pada tahun lepas iaitu kepada 81 tan sampah berbanding 86 tan pada tahun 2023 kerja-kerja pembersihan sungai itu akan terus dilaksanakan.
“Kempen membersihkan sungai ini sudah lama kami laksanakan dengan melibatkan kerjasama daripada pelbagai rakan agensi, NGO tempatan tanpa perlu menunggu isu-isu yang ditularkan di media sosial (mengenai sampah di Sungai Juru).
“Untuk tahun ini, kami berhasrat mengadakan aktiviti seperti ini (gotong-royong) sekurang-kurangnya empat kali setahun dengan kerjasama pihak yang berkenaan dalam usaha memastikan kelestarian ekosistem dan kebersihan Sungai Juru ini,” katanya.
Sementara itu, katanya, seramai 130 peserta mengambil bahagian dalam program berkenaan yang bermula seawal pukul 8 pagi.
Ujarnya, tujuan utama program gotong-royong itu diadakan ialah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga keindahan sungai dan kebersihan sumber air. – UTUSAN






