TELUK INTAN: Menjelang Hari Raya Aidiladha pada 7 Jun ini, Koperal Haslizal Mohd Ali, 44, hanya mampu mengenang kegembiraan bersama-sama rakan-rakannya bergotong royong melapah lembu korban setiap kali perayaan tersebut.
Ini kerana, ada rakan-rakannya yang sebelum ini menjayakan ibadat korban di markas Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Unit Lima Sunga Senam di Ipoh, meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan trak pasukan itu dengan sebuah lori muatan batu di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Haslizal antara anggota FRU yang mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan itu dan tidak sedarkan diri hampir dua minggu.
Dia hanya sedarkan diri pada Isnin lalu, selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan sejak hari kemalangan dan kini dipindahkan di wad biasa.
Haslizal bersyukur kerana keadaannya beransur stabil namun masih bersedih di atas kemalangan tragis yang menyebabkan sembilan rakannya terkorban.
“Sudah tentu saya bersedih kerana hilang ramai kawan dalam sekelip mata. Saya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mereka.
“Pastinya saya terasa kehilangan mereka apatah lagi menjelang Aidiladha tak lama lagi kerana mereka yang terkorban bersama-sama menjayakan ibadah korban sempena Aidiladha sebelum ini.
“Kali ini saya pasti rindukan mereka, terkenang saat-saat mereka bersama-sama menjayakan ibadah korban setiap tahun, tapi kali ini tiada lagi kehadiran mereka,” katanya kepada Nexbyte.
Menceritakan detik kemalangan yang berlaku lebih dua minggu lalu, Haslizal berkata, semasa kejadian, dia duduk di bahagian belakang trak dan tiba-tiba kenderaan dinaikinya seperti terlanggar objek yang berat sebelum terdengar bunyi dentuman.
Katanya, akibat pelanggaran itu dia melambung, berpusing dan kepala terhantuk pada badan trak selain terkena hentakan barang-barang kelengkapan seperti beg yang berat dan peralatan FRU.
“Ketika itu saya masih sedarkan diri dan dapat rasa ada orang tolong angkat saya keluar daripada trak. Semasa itu saya nampak kawan-kawan meminta tolong, namun saya tidak dapat membantu kerana menahan kesakitan.
“Saya rasa sangat sedih kerana tidak dapat membantu mereka,” katanya.
Menurutnya, akibat kemalangan itu dia patah tulang rusuk, kecederaan pada tulang punggung dan kerosakan paru-paru.
“Sudah lebih dua minggu berada di hospital, Alhamdulillah keadaan saya semakin stabil. Selain rindukan kawan-kawan sekerja, saya juga rindukan anak-anak, rindu nak dengar suara mereka terutama anak bongsu perempuan saya, berumur lima tahun.
“Tak sabar nak jumpa anak dan isteri. Saya juga mahu cepat sembuh supaya dapat bertugas seperti biasa,” katanya. – UTUSAN






