SEREMBAN : Projek pembinaan jalan baharu sepanjang 18 kilometer dari Nilai ke Bandar Enstek bernilai RM600 juta, dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2026, selepas mengalami penangguhan akibat masalah kontraktor asal.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek kini diteruskan semula selepas pelantikan kontraktor baharu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Isu kelewatan sebelum ini berpunca daripada masalah kontraktor terdahulu yang ditamatkan perkhidmatannya. Sekarang kontraktor baharu telah dilantik dan kita yakin mereka akan menyiapkan projek ini mengikut jadual,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.
Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Nilai dan Labu malah menjadi laluan alternatif ke Bandar Enstek.
Aminuddin turut menekankan bahawa jalan itu penting untuk menyokong pertumbuhan kawasan berkenaan yang semakin pesat, terutama ketika waktu puncak.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan kelulusan pembangunan kawasan perindustrian baharu seluas 1,300 ekar tanah di Bukit Pelanduk, Port Dickson, hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC).
“Kawasan ini akan dibangunkan sebagai industri bercampur yang merangkumi pelbagai sektor berimpak tinggi termasuk teknologi tinggi, pembuatan komponen, dan aeroangkasa,” katanya.
Bagi memastikan kelancaran akses dan logistik, menurut Aminuddin, kerajaan negeri turut merancang pembinaan laluan jalan baharu yang akan menghubungkan kawasan perindustrian itu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan sokongan daripada Kerajaan Negeri Selangor.
“Perbincangan sedang dijalankan untuk membina lebuh raya baharu merentasi sempadan negeri yang dapat memendekkan masa perjalanan ke KLIA,” tambah beliau. – UTUSAN





