PETALING JAYA: Ketika soal pelantikan Ketua Hakim Negara semakin hangat diperdebatkan, Istana Negara memberi amaran agar isu itu ditangani dengan cermat dan tidak dipolitikkan bagi menjamin integriti badan perundangan tertinggi negara itu.
Namun sejauh mana amaran itu dapat menghentikan polemik berkenaan terus menjadi tanda tanya.
Ini kerana, sembilan ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menegaskan, desakan tersebut merupakan hak mereka sebagai ahli Parlimen.
Justeru, mereka terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk pembangkang.
Malah, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli turut mengutus surat rasmi kepada semua ahli Parlimen agar menyokong cadangan penubuhan RCI itu untuk menyiasat dakwaan melibatkan integriti dalam proses pelantikan kehakiman di negara ini.
Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Menteri Ekonomi turut menggesa semua ahli Parlimen menyokong agar pelantikan bagi mengisi kekosongan penting dalam badan kehakiman dibuat berdasarkan syor terdahulu daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
“Saya, sekali lagi menyeru agar Yang Berhormat untuk turut bersama kami dalam menyatakan solidariti sokongan terhadap usaha ini sama ada melalui persetujuan penyataan sokongan yang dilampirkan bersama-sama surat ini atau kenyataan awam atau kehadiran dalam forum-forum berkaitan atau tindakan susulan di Parlimen,” katanya dalam surat berkenaan.
Pelawaan Rafizi itu mendapat sokongan Pas dengan Ketua Penerangannya, Ahmad Fahli Shaari menyatakan, mereka menyokong segala usaha menyelesaikan kemelut kehakimanan negara termasuk cadangan penubuhan RCI, meskipun berpandangan ia tidak akan membawa sebarang hasil selagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tampuk kuasa.
“Tidak timbul bersyarat atau tidak dalam menyokong RCI ini. Pas menyokong apa jua usaha ke arah menyelesaikan kemelut pelantikan hakim yang sedang berlaku,” katanya.
Sementara itu, dalam amaran yang dikeluarkan, Istana Negara menyatakan, mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakimanan 2009 (Akta 695) merupakan undang-undang yang memperuntukkan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak kepada Perdana Menteri.
“Hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara sah supaya perjalanan kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan turut menyatakan, proses pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang baharu dilaksanakan secara telus dan berlandaskan sepenuhnya kepada Perkara 112B Perlembagaan Persekutuan.
Malah, beliau memaklumkan, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-269 akan diadakan pada 15 hingga 17 Julai ini bagi membincangkan perkara berkenaaan.
Kemelut pelantikan Ketua Hakim Negara yang kini dipangku oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim turut mendorong Badan Peguam Malaysia untuk mengadakan perarakan aman dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri pada 14 Julai ini bagi menyerahkan satu memorandum mengandungi empat tuntutan.
Tuntutan-tuntutan itu termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat terbaru Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman, dan menangani isu kekosongan jawatan kehakiman secara keseluruhan.
Bagaimanapun, usaha Badan Peguam itu tidak mendapat sokongan Hakim Hasnah yang menolak permohonan untuk menangguhkan semua prosiding mahkamah bagi membolehkan para peguam menyertai perhimpunan berkenaan.
Penolakan itu dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Azhaniz Teh Azman Teh dengan alasan, tarikh berkenaan melibatkan kes-kes yang telah ditetapkan lebih awal serta melibatkan pelbagai pemegang taruh.
Keputusan Pemangku Ketua Hakim Negara itu turut dipersoalkan oleh Penasihat Lawyers for Liberty, Latheefa Koya yang menyifatkannya tidak munasabah dan mencemarkan kerjasama antara badan kehakiman dan peguam.
“Ia bukanlah alasan yang kukuh untuk menolak permintaan Badan Peguam. Penangguhan seperti ini pernah dimohon oleh Badan Peguam atau Jabatan Peguam negara atas pelbagai sebab sebelum ini dan biasanya diluluskan,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN






