PENDANG: Allahyarham Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang maut bersama suami dan empat anaknya dalam kereta di Sungai Korok di sini, berulang alik dari Jerlun ke Pendang dengan jarak 45 kilometer setiap hari untuk berniaga roti canai di Tanah Merah, di sini.
Jenazah enam beranak itu ditemukan dalam kereta Proton Iswara yang terbabas ke dalam sungai berkenaan berkedalaman enam meter, pagi kelmarin selepas dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
Ibu Nurul Hidayah, Roswati Zainol, 52, berkata, anaknya berulang-alik dari rumah mereka di Kampung Bohor Karang, Jerlun setiap hari kecuali pada Khamis sejak lebih sebulan yang lepas.
“Dulu arwah berniaga di medan selera Hospital Lama Alor Setar tetapi sejak bersalin anak kembar arwah berhenti sekejap untuk fokus kepada kembar. Apabila terlalu lama bercuti dia terpaksa melepaskan gerainya di situ.
“Cuma bulan lepas, arwah berniaga semula di Pendang. Dia pilih Pendang walaupun jauh dari rumah kami namun di sini banyak saudara mara kami. Sudah lama arwah niaga roti canai, arwah suami dia kalau tidak kerja memang akan berniaga sekali dengannya,” katanya ditemui di sini, semalam.
Katanya, setiap hari anak dan menantunya itu keluar rumah selepas waktu subuh dan akan pulang selepas zuhur.
“Kadang-kadang lewat petang baru balik. Saya pernah nasihatkan arwah supaya cari tempat niaga yang lebih dekat dengan rumah tetapi dia kata selesa berniaga di situ,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Nexbyte di gerai berkenaan mendapati ia kosong dan sepi yang turut mengundang rasa sayu dalam kalangan pelanggannya.
Menurut penduduk setempat walaupun baru sebulan berniaga di kawasan itu, gerai berkenaan menjadi tumpuan kerana roti canai yang dijual Allahyarham sedap dan murah iaitu cuma RM1.20 sekeping.
Seorang pelanggan, Azizi Ishak, 60, berkata, dia dan rakan tidak ketinggalan untuk singgah di gerai tersebut untuk membeli sarapan.
“Mereka baru menjual roti canai di sini lebih kurang sebulan yang lepas. Memang sedap roti canainya,” katanya. – UTUSAN






