KOTA BHARU: Langkah polis membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman pada Disember 2013 memberi sinar baharu buat keluarga remaja berkenaan untuk menuntut keadilan.
Peguamnya, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, ia membuka jalan untuk polis dan Peguam Negara meneliti kembali keterangan saksi termasuk saksi tambahan bagi membantu siasatan tersebut.
Beliau percaya penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa sidang Parlimen berhubung kes itu dibuat setelah ia mendapat liputan meluas media dan warganet.
“Tindakan susulan pihak kami menyerahkan saman dan pernyataan tuntutan kepada defendan-defendan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kami percaya siasatan sebelum ini tidak menjurus kepada aspek buli. Mungkin ini satu lagi aspek yang boleh polis lihat sama ada wujud unsur buli yang menyebabkan kematian si mati,” katanya kepada Nexbyte.
Media sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka semula kertas siasatan berhubung kes Allahyarham Wan Ahmad Faris yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013.
Saifuddin Nasution mengesahkan bahawa PDRM akan membuka semula kertas siasatan kes Wan Ahmad Faris untuk dilihat semula.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ketika itu ditemukan tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.
Mayat dilaporkan dijumpai penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dan hasil bedah siasat mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut serta tiada kaitan dengan unsur jenayah.
Namun Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris adalah dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti. – UTUSAN






