SEMENYIH: Keluarga terdekat termasuk ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, Ummu Haiman Bee Daulatgun, adik-beradik serta beberapa saudara mara yang lain tiba sekitar pukul 7.15 pagi ini di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching.
Proses kerja penggalian dijangka bermula pukul 8.15 pagi ini.
Selain itu, ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Nushi Mahfodz turut hadir menyaksikan proses penggalian semula kubur.
Penggalian semula kubur ini dibuat bagi tujuan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kematian Syamsul Haris.
Dalam pada itu, keadaan di tanah perkuburan terkawal dengan kehadiran pihak berkuasa yang memastikan kelancaran proses berkenaan.
Mahkamah Tinggi Selasa lalu memerintahkan penggalian semula kubur Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan dalam tempoh 14 hari bermula tarikh penggalian.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham iaitu Ummu Haiman.
Mahkamah turut mengarahkan seorang pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham dengan kehadiran Pakar Forensik, Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh.
Proses itu turut disertai peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili pemohon melalui firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.- UTUSAN






