PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa menerima surat tuntutan daripada bekas Pengerusi PKR Perak, Datuk Farhash Wafa Salvador yang mahu Ahli Parlimen Pandan itu berhenti daripada mengeluarkan sebarang kenyataan mengaitkannya dengan urus niaga sebuah syarikat.
Rafizi berkata, beliau menerima surat tuntutan bertarikh 22 Ogos 2025 daripada Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co yang mewakili Farhash.
Katanya, surat itu menuntut beliau menghentikan sebarang kenyataan serta membuat permohonan maaf berkaitan kenyataannya yang mengaitkan pemberi maklumat dengan urus niaga syarikat terbabit.
“Kenyataan saya itu adalah satu penyataan fakta. Oleh itu, saya bersedia mempertahankan fakta-fakta tersebut di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, beliau melalui peguam Razlan Hadri Zulkifli dari Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri akan menguruskan tindakan lanjut berhubung tuntutan tersebut.
“Saya berpandangan sekiranya Datuk Wira Farhash memfailkan saman di mahkamah kelak, ia akan menjadi kes berkepentingan awam dan peguam-peguam saya berpeluang menanyakan soalan-soalan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak selama ini,” katanya.
Surat tuntutan cease (berhenti) and desist (tidak mengulangi) itu dipercayai berkait dengan kenyataan Rafizi sebelum ini yang mendedahkan hubungan pemberi maklumat dengan urus niaga melibatkan pihak berkaitan Farhash.
Minggu lalu, Rafizi Ramli berkata, maklumat yang sedang dirujuk beliau berhubung satu dakwaan sebelum ini tidak melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebaliknya ia berkaitan Farhash serta urus niaga syarikat-syarikatnya. – UTUSAN






