KOTA KINABALU: Saksi keenam inkues kematian Zara Qairina Mahathir mendedahkan, wujud ‘High Council’ di asrama sekolah pelajar itu.
High Council merupakan drama bersiri di stesen televisyen berbayar, mengisahkan budaya gengsterisme dan buli dalam sebuah sekolah berasrama penuh yang diambil daripada inspirasi kisah benar.
Saksi berkenaan, pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha mendedahkan kewujudan kumpulan itu (‘High Council’) di Asrama Qurratu ‘Ayun di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.
Linah membuat kenyataan tersebut ketika ditanya oleh peguam, Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Zara Qairina.
Asrama tersebut mempunyai dua blok kediaman pelajar perempuan iaitu Blok A, Rabiatul Adawiyah, blok kediaman Zara Qairina dan lokasi remaja terbabit ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu, dan Blok B, Sumayyah.
Shahlan: Sejak puan bekerja di asrama terbabit daripada 2012 sehingga sekarang, pernah tak dengar istilah ‘MA’?
Linah: Pernah.
Shahlan: MA tu apa?
Linah: Perjumpaan haram, pandai-pandai saja senior ini. Dulu sudah diharamkan, sudah dilarang itu tuan.
Shahlan: MA ini sejak bila?
Linah: Selama asrama di atas, awal bulan 3, 2017. Saya pun tak tahu mula-mula, bila tanya budak-budak (penghuni asrama), baru faham.
Shahlan: Apa budak-budak cakap (pasal MA)?
Linah: Saya tanya MA apa? Budak-budak itu kata, macam perjumpaan, (mana-mana) budak yang tidak hormat senior dipanggil senior, ditegur supaya hormat senior. Macam kalau ‘limpas’ (berselisih) senior tetapi tak senyum akan dipanggil, ditegur. Macam nasihat kat adik-adik
Shahlan: Nama panjang MA ini ‘Mesyuarat Agung’?
Linah: Tak tahu. Saya tahu MA saja.
Shahlan: Kenapa MA ni diharamkan, dilarang?
Linah: ‘Dorang’ (mereka) senior ini dilarang sebab bertindak sesuka hati, mereka tidak dibenarkan buat sesuka hati. kalau ada kesalahan, (kena) beritahu cikgu (dan) cikgu yang akan siasat. Sama juga kalau tingkatan lima atau tingkatan empat (buat kesalahan) cikgu akan nasihat, Cikgu pun tak tahu senior buat begini (MA).
Shahlan: Kalau cikgu tak tahu pasal MA, macam mana boleh diharamkan?
Linah: Ada pelajar tingkatan lima yang bagi nasihat jangan buat begitu. Saya ada dengar tingkatan lima kata, sudah diharamkan sudah MA ini. Itu yang saya dengar.
Shahlan: Selepas MA, apa jadi pada pelajar yang dipanggil?
Linah: Dorang bercakap sesama sendiri. Bila mereka limpas di tempat pengawal, saya tanya dari mana, mereka bilang ada MA aunty. Tak tahu dia orang (senior) cakap apa, kena tegur pasal pakaian juga.
Shahlan: Sebelum kes Zara Qairina ini, ada tak dengar pasal MA?
Linah: Tiada.
Shahlan: Ada tak kemungkinan, Zara Qairina kena MA sebab dituduh mencuri?
Linah: Mungkin.
Linah yang menemui Zara Qairina dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri pada pertengahan Julai lalu, turut memberitahu dia telah diminta untuk memadamkan gambar remaja terbabit.
Wanita berusia 65 tahun dan telah bertugas di SMKA Tun Datu Mustapha sejak 2001 memberitahu, ketua warden memintanya berbuat demikian kerana takut gambar tersebut ditularkan.
Gambar yang diambil Linah merupakan satu-satunya gambar yang diambil selepas remaja tersebut ditemukan dan telah diterima masuk sebagai bahan bukti dalam inkues berkenaan yang masuk hari ketujuh, semalam.
“Ketua warden suruh delete. Dia kata, handphone (telefon bimbit) saya, budak-budak (penghuni asrama) sering pinjam (untuk buat panggilan kepada keluarga) jadi takut nanti budak-budak nampak gambar itu dan viralkan,” katanya.
Ketika ditanya, siapa ketua warden tersebut, Linah menjawab: Ustaz Azhari.
Saksi itu memberitahu, ketua warden itu turut mengarahkan dua pelajar untuk mencuci darah Zara Qairina yang terdapat di atas koridor di hadapan bilik warden, sebaik sahaja remaja terbabit dibawa ke hospital.
“Lepas diangkat ke ambulans, disuruh untuk cuci darah (depan bilik warden). Security (pengawal keselamatan) lelaki tolong suluh guna lampu suluh sebab gelap.
“Darah tempat Zara jatuh tidak dicuci kerana hujan lebat, terus bersih. Tapi tempat kaki Zara jatuh, masih ada darah sebab ada simen situ. Sampai sekarang masih ada, dia (darah) sudah jadi hitam,” kata saksi itu.
Saksi itu juga memberitahu bahawa Zara Qairina pernah menyuarakan rakan kesal mengenali seorang perempuan.
Bagaimanapun, menurut pengawal keselamatan itu, apabila ditanya siapakah ‘perempuan’ yang dimaksudkan, Zara Qairina hanya menjawab: ‘Adalah’.
Tambahnya, sejak sesi persekolahan bermula pada bulan Mac lalu, seingatnya, dia hanya berbual dengan Zara Qairina sebanyak dua kali.
“Kali pertama saya tegur Zara, tanya ini TikTok kamu ka sebab TikTok dia masuk dalam handphone (telefon bimbit) saya dan saya cakap macam kenal itu budak dan sekolah, jadi bila ampak saya tegur dan tanya.
“Kemudian dia bilang, saya (Zara Qairina) menyesal jumpa satu perempuan. Saya (Linah) tanya siapa,dia jawab, adalah tu.
“Kami jumpa dua kali. Kali kedua kami berkejar-kejaran di jemuran (sekitar pukul 1 pagi), bila disuluh, dipanggil dia lari saya kejar lepas tu saya minta kawan dia panggil, takut nanti dilanggar orang halus (hantu). Lepas kawan dia panggil, saya tanya buat apa lewat-lewat, dia (Zara Qairina) kata dia teman kawan basuh kain,” katanya.
Prosiding yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung Rabu depan. – UTUSAN




