PUTRAJAYA: Penetapan pembelian petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan bagi program Budi Madani RON95 (BUDI95) dibuat secara teliti berpandukan keperluan 98 peratus rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, penetapan itu dibuat berdasarkan rekod penggunaan bahan api oleh kebanyakan rakyat setiap bulan.
Beliau berkata, secara purata, penggunaan bahan api hanya sekitar 150 liter sebulan, manakala ada yang mencecah 250 liter, terutama melibatkan kes tertentu atau penggunaan lebih daripada sebuah kenderaan dalam keluarga.
“Berdasarkan rekod, 98 peratus rakyat Malaysia menggunakan sekitar 200 hingga 250 liter sahaja. Sebab itu pada peringkat awal, cadangan maksimum ditetapkan 250 liter kerana mereka yang guna lebih daripada itu sebenarnya sangat kecil jumlahnya.
“Namun, selepas dibincangkan dan bagi mengelak ia menjadi isu, kita bersetuju menaikkan had keperluan kepada 300 liter,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini semalam.
Anwar turut mengingatkan orang ramai supaya tidak gopoh beratur panjang di stesen minyak bagi mendapatkan harga RON95 pada harga RM1.99 seliter bermula 30 September ini, kerana harga bahan api itu akan kekal seperti yang telah dijanjikan kerajaan.
“Tidak perlu semua orang berpusu-pusu isi minyak 30 September ini. Tunggu dua atau tiga hari, harga masih sama. Kalau penuhkan tangki beramai-ramai sekali gus, ia hanya menyusahkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan rayuan golongan nelayan kecil, pekebun, pemilik perahu serta bot yang menggunakan petrol RON95 bagi memastikan mereka turut mendapat manfaat daripada program BUDI95.
Katanya, kerajaan menyedari wujud kes tertentu seperti di Sabah, Sarawak dan Kelantan, yang mana nelayan kecil atau pemilik perahu menggunakan petrol RON95 walaupun tiada lesen memandu di bawah nama mereka.
“Nelayan dan pekebun memang ada elaun khas, selain bantuan diesel tetapi jika ada yang benar-benar menggunakan RON95 untuk perahu atau bot, mereka boleh kemukakan rayuan.
“Saya jamin kerajaan akan bantu mana yang layak. Hal ini tidak membabitkan jumlah yang besar, jadi kita boleh pertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga telah meningkatkan kapasiti pelayan (server) BUDI95 sehingga 10 kali ganda bagi memastikan kelancaran program itu, dengan keupayaan sistem baharu itu dijangka mampu memproses sehingga 30,000 transaksi seminit.
Beliau berkata, peningkatan kapasiti itu dibuat selepas mengambil iktibar masalah teknikal membabitkan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) baru-baru ini. – UTUSAN






