PEKAN: Ketidakseimbangan harga antara padi tempatan dan beras import kini menjadi ancaman serius terhadap kelangsungan industri padi negara, melibatkan lebih 200,000 pesawah dan ratusan pengilang berdepan risiko gulung tikar.
Pengilang padi tempatan mengakui golongan itu semakin terhimpit apabila terpaksa membeli padi daripada pesawah pada harga tinggi, sedangkan beras import yang siap diproses boleh diperoleh dengan kos jauh lebih rendah.
Penaung Syarikat Kilang Beras Melayu Jati, Mujahid Che Hamid yang merupakan syarikat pengilang padi dan pengedar beras berkata, kos pengeluaran padi tempatan ketika ini berjumlah sehingga RM3,000 satu metrik tan termasuk kos operasi.
Sedangkan katanya, harga beras import boleh dibeli pada harga RM2,600 satu metrik tan yang sudah bersih dan boleh terus dipek.
“Masalah ini berpunca daripada dasar import yang tidak dikawal rapi pihak berkenaan, membolehkan beras luar negara membanjiri pasaran tempatan tanpa imbangan harga yang adil.
“Beras import yang dibawa masuk dalam bentuk siap proses bukan sahaja lebih murah, malah tidak melalui rantaian pengeluaran domestik, menyebabkan nilai ekonomi tempatan terpinggir.
“Sepatutnya beras import dikenakan harga lebih tinggi. Tetapi sekarang, ia jadi pilihan utama syarikat pemborong beras kerana murah dan mudah,” katanya kepada Nexbyte di sini.
Mujahid turut menyuarakan kebimbangan bahawa jika trend ini berterusan, banyak kilang padi akan tutup operasi dalam masa terdekat.
“Keadaan ini menyebabkan kilang tiada pilihan, sama ada menekan pesawah daripada segi pemutuan padi bagi mengimbangi semula kos pengeluaran atau tutup sahaja kilang. Dan sekiranya pesawah dikenakan pemutuan yang tinggi, petani akan mula hilang minat untuk menanam padi.
“Isu ini bukan sekadar soal harga tetapi menyentuh soal keselamatan makanan negara. Jika pengilang dan pesawah tempatan pupus, kita akan bergantung sepenuhnya kepada import. Itu sangat-sangat berisiko,” katanya.
Beliau dalam pada itu memberikan cadangan supaya kerajaan membuka harga beras kepada pasaran bebas, membenarkan campuran beras import dan tempatan tanpa sekatan.
Ini kerana katanya, tiada teknologi ataupun mesin yang mampu mengenal pasti asal-usul beras secara tepat, menjadikan campuran beras tempatan dan import bukan lagi isu teknikal.
“Kalau harga dibuka, pengilang boleh campur beras ikut strategi kos. Pengguna pun dapat pilihan lebih murah,” katanya.
Selain itu, beliau turut memberikan cadangan supaya kerajaan mengekalkan peranan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebagai entiti tunggal yang membeli semua beras daripada pengilang dengan harga kos pengilang, sebelum dijual kepada pemborong.
Langkah tersebut katanya, dilihat mampu menjamin pasaran untuk pesawah tempatan dan menstabilkan harga beras di pasaran.
“Bernas boleh kawal bekalan dan pastikan pesawah tidak terpinggir. Tetapi ia juga kurangkan kebebasan pemborong,” ujarnya.
Beliau menegaskan, industri padi negara bukan sekadar sektor ekonomi sebaliknya ia adalah nadi kepada kedaulatan makanan, kelangsungan komuniti luar bandar dan warisan negara.
“Kerajaan digesa bertindak segera sebelum lebih banyak pengilang dan pesawah gulung tikar dan industri padi negara menjadi sejarah,” katanya. – UTUSAN






