KUALA LUMPUR: Sektor halal dijangka menyumbang RM231 bilion atau 10.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasal (KDNK) menjelang 2030.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia hasil pelbagai inisiatif dilaksanakana kerajaan termasuk pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menggariskan hala tuju jelas bagi membangunkan Malaysia sebagai hab halal utama dunia.
Perdana Menteri berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan pemacu utama pertumbuhan industri halal negara.
“Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk mengukuhkan peranan PMKS di pasaran global. Malah, di bawah Rancangan Malaysia 2030, peruntukan besar telah disediakan bagi memperkukuh pertumbuhan sektor halal,” katanya berucap merasmikan Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Perdana Menteri berkata, kerajaan memposisikan industri halal sebagai penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara sekali gus sebagai salah satu agenda utama dalam setiap misi pelaburan dan rundingan perdagangan dua hala.
Bagi menjayakan agenda itu, katanya, proses kelulusan pensijilan halal kini lebih pantas, sekali gus memberi kelebihan besar kepada syarikat tempatan menembusi pasaran global.
Kata beliau hampir 10,000 syarikat telah diperakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan lebih 80 peratus daripadanya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Bayangkan, walaupun piawaian lebih ketat dan pemantauan lebih rapi, tempoh kelulusan kini hanya sekitar dua minggu berbanding enam bulan dahulu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia menjadikan industri halal sebagai model ekonomi sejagat yang akan menjadi sebahagian daripada rundingan bersama negara berpenduduk majoriti Islam mahupun negara bukan Islam.
“Sebagai contoh, dalam Kazan Forum 2025 di Russia baru-baru ini, saya menonjolkan kepakaran Malaysia dalam pensijilan halal serta menawarkan sokongan bagi memperkukuh piawaian halal global.
“Manakala pada Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Brazil, saya turut menyeru syarikat-syarikat Brazil dan Malaysia agar merebut peluang perniagaan dalam industri halal dengan sokongan Presiden Lula,” katanya.
Menurut Anwar, pencapaian Malaysia dalam industri halal amat membanggakan apabila kekal berada di tangga teratas Indeks Ekonomi Islam Global (GIEI) selama 11 tahun berturut-turut.
“Kejayaan ini bukan sahaja hasil usaha kementerian dan industri tempatan, tetapi juga sokongan padu rakan-rakan antarabangsa yang turut hadir pada GHaS tahun ini,” katanya. – UTUSAN






