SHAH ALAM: Jemaah haji yang gagal berangkat ke Tanah Suci akibat masalah kesihatan kritikal masih berpeluang menunaikan ibadah itu pada musim akan datang sekiranya disahkan sihat dan kembali layak oleh petugas perubatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, berkata penilaian semula terhadap kesihatan jemaah yang sebelum ini tidak dibenarkan menunaikan haji dibuat berdasarkan konsep istita‘ah atau kemampuan, termasuk dari segi kesihatan diri.
“Penolakan bagi jemaah yang sakit hanya terpakai pada musim itu sahaja. Jika mereka berusaha menjaga kesihatan dan pulih pada tahun berikutnya, mereka tetap akan diberikan surat tawaran semula untuk menunaikan haji,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Konvensyen Muallaf Madani 2025, di sini hari ini.
Lebih 500 mualaf dari seluruh negara dan pelbagai latar belakang menghadiri konvensyen tersebut bagi mendalami pengetahuan tentang agama Islam dan pemantapan ibadah.
Jelasnya, keputusan penilaian kesihatan bakal jemaah dibuat bagi memastikan keselamatan mereka sepanjang berada di Tanah Suci, terutama ketika cuaca panas ekstrem yang boleh mengancam nyawa, khususnya bagi jemaah yang menghidap penyakit kronik seperti jantung, kencing manis dan darah tinggi. – UTUSAN






