KUALA LUMPUR: Kedutaan Palestin di Malaysia menzahirkan penghargaan mendalam kepada Malaysia kerana terus meletakkan perjuangan rakyat Palestin sebagai teras utama dalam agenda Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Kedutaan Palestin dalam kenyataan berkata, pendirian tegas Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin di pentas serantau dan antarabangsa membuktikan komitmen negara ini terhadap keadilan, kemanusiaan dan keamanan sejagat.
Katanya, pendirian konsisten Malaysia terhadap Palestin melambangkan nilai kemanusiaan dan solidariti sejagat yang terus menjadi asas kepada dasar luar negara, khususnya dalam memperjuangkan keamanan yang berkekalan di rantau Asia Barat.
“Malaysia terus menjadi suara yang lantang mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta menubuhkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Kedutaan Palestin turut merakamkan ucapan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan gemilang menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang disifatkan sebagai satu kejayaan luar biasa dalam memperkukuh perpaduan serantau serta mengangkat peranan ASEAN di peringkat global.
“Kejayaan penganjuran tersebut menyerlahkan kepimpinan berwawasan dan berprinsip Malaysia, yang bukan sahaja memacu hala tuju ASEAN, tetapi turut membawa suara solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin ke meja rundingan antarabangsa.
“Kepengerusian Malaysia yang berinspirasi dan berpandangan jauh telah meninggalkan kesan besar bukan sahaja di rantau ini, malah di dunia Islam, dengan menonjolkan semangat diplomasi berprinsip serta kepekaan terhadap isu kemanusiaan global,” katanya. – UTUSAN





