KUALA LUMPUR: Rundingan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan China bukan bertujuan untuk memihak kepada mana-mana kuasa besar, sebaliknya mencerminkan pendirian negara yang matang, seimbang dan berprinsip dalam diplomasi antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan perdagangan tersebut perlu dilihat dalam konteks diplomasi terbuka, di mana Malaysia dan ASEAN kekal bebas berunding dengan semua pihak tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana negara.
“Perbincangan ini tidak menghalang hubungan kita dengan mana-mana negara lain. Kita berunding, bukan menyerah.
“Dalam diplomasi, kita perlu realistik. Jangan cepat menghukum tanpa memahami konteks,” katanya ketika sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, antara isu yang dibincangkan dalam rundingan perdagangan antaranya melibatkan sumber nadir bumi, semikonduktor, cip dan maritim, namun perkara itu tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan China.
“Perbincangan ini tidak menghalang kita daripada mengekalkan hubungan baik dengan China. Kita berunding, bukannya kita menyerah,” katanya.
Mengulas hubungan dagangan dengan AS yang turut mengundang kritikan, Anwar berkata, beliau sendiri yang mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden AS, Donald Trump bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk isu kemanusiaan.
“Dalam pertemuan itu, mungkin bagi mereka (pembangkang), 20 perkara dalam perjanjian perdagangan tersebut tidak komprehensif kerana tidak menyebut tentang Palestin.
“Komprehensif bermaksud penyelesaian menyeluruh yang menghormati pendirian dan hak rakyat Palestin,” katanya.
Anwar turut mengingatkan pihak yang lantang mengkritik agar memahami konteks diplomasi antarabangsa sebelum membuat tuduhan tidak berasas.
“Terima kasih Tuan Presiden (Trump). Kepada yang bising, cubalah sendiri pergi bercakap dengan beliau,” katanya. – UTUSAN






