MELAKA: Kumpulan rock legenda, Sweet Charity yang terkenal dengan lagu Kamelia, Musibah dan Teratai bakal menggegar Melaka pada Malam Amal ‘Legends’ anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 1 November ini.
Penyanyi, Datuk Ramli Sarip berkata, mereka akan membuat persembahan 10 buah lagu daripada lapan album yang dihasilkan antaranya album Sejuta Wajah, Pelarian, Batu dan Penunggu.
Menurutnya, tiga ahli kumpulan asal yang akan turun beraksi ialah Rosli Mohalim (gitar utama), Rahman Sarbani (drum) dan Ahmad Jaafar (keyboard, penyanyi kedua).
“Kami akan membuat persembahan paling mantap dengan lagu-lagu nostalgia pernah membawa Sweet Charity ke kemuncak serta menjadi minat orang ramai ketika itu.
“Pastinya lagu-lagu seperti Kamelia, Jangan Tunggu Lama-lama, Musibah, Teratai, Terharu dan Bagaikan Bermimpi akan kami persembahkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Sementara itu, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, penganjuran malam amal itu adalah kali ketiga dianjurkan selepas di Sabah dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, ia bertujuan mengumpul dana bagi Karyawan membantu bukan sahaja penyanyi tetapi penggiat seni yang menghadapi masalah kesihatan.
Beliau berkata, seramai 10 penggiat seni di Melaka akan mendapat sumbangan pada malam itu bagi meringankan beban mereka.
“Bukan sahaja Sweet Charity akan membuat persembahan tetapi ramai artis legenda seperti Datuk Khatijah Ibrahim, Kopratasa, Ito Blues Gang dan S. Mariam termasuk dua penyanyi kelahiran Melaka, Datuk Andre Goh dan Helen Vellu,” katanya.
Sementara itu, Khatijah yang juga Pengerusi Karyawan berkata, 100 meja akan dijual bermula harga serendah RM3,000.
“Hasil sumbangan malam tersebut akan memastikan Karyawan terus memainkan peranan membantu kebajikan lebih 7,000 artis dan penggiat seni yang memerlukan bantuan,” katanya. – UTUSAN






