PETALING JAYA: Malaysia mencatat pertumbuhan transaksi tertinggi di Asia Tenggara bagi pengguna Alipay+, dengan peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding tahun lalu.
Ia mencerminkan kedudukan negara sebagai destinasi nombor satu di rantau ini dan antara lima destinasi paling popular di dunia bagi pengguna Alipay+ serta pasaran pertumbuhan tertinggi dalam kalangan pelancong dari China.
Menurut Presiden Ant International, Douglas Feagin, perbelanjaan pelancong menunjukkan peningkatan ketara dalam sektor tarikan pelancongan, makanan dan minuman (F&B), serta runcit dan perkhidmatan, mencerminkan kepelbagaian dan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
Beliau berkata, transaksi Alipay+ melalui DuitNow QR oleh PayNet melonjak lebih 80 peratus dalam separuh pertama 2025, menjadikannya penyumbang utama kepada jumlah transaksi pelancong masuk ke Malaysia.
“Perbelanjaan pelancongan melalui Alipay+ di kedai yang menerima DuitNow QR meningkat lebih 150 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus memberi impak positif kepada pendapatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
“Penggunaan dompet digital semakin meningkat bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah turut meluas ke bandar-bandar lain seperti Semporna, Kuantan dan Tawau,” katanya dalam kenyataan.
Alipay+ merupakan platform dompet digital global oleh Ant International. Penerimaan Alipay+ kini diperluas ke lebih 100 negara, menghubungkan para peniaga kepada 1.8 bilion pengguna daripada 40 rakan pembayaran antarabangsa.
Lebih daripada 6.5 juta pengguna telah menggunakan pembayaran rentas sempadan Alipay+ buat kali pertama dalam separuh pertama 2025, membuka peluang baharu kepada peniaga global.
Feagin berkata, menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang menyasarkan kehadiran 47 juta pelancong, Alipay+ memainkan peranan penting dalam membantu peniaga tempatan dan industri pelancongan memenuhi keperluan pelancong yang semakin meningkat melalui perluasan ekosistem pembayaran dan perkhidmatan digital, termasuk pembayaran, rakan kongsi dan perkhidmatan.
Kata beliau, Alipay+ memperluas penerimaan pembayaran rentas sempadan ke lebih 100 pasaran, dengan rangkaian kini merangkumi 40 rakan kongsi dan 1.8 bilion pengguna.
“Di Malaysia, kerjasama dengan rakan tempatan dan kempen bersama telah mendorong peningkatan transaksi sebanyak 45 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Industri pelancongan memberi impak besar kepada ekonomi tempatan, dan kami percaya dompet digital boleh menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan menghubungkan pelancong dan perniagaan secara lebih meluas.
“Alipay+ komited untuk memperkukuh ekosistem pelancongan melalui pembayaran dan perkhidmatan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI), bagi membolehkan peniaga fizikal dan dalam talian, rakan pelancongan serta syarikat fintech menawarkan pengalaman yang lebih mesra pengguna kepada pelanggan.
“Melalui kerjasama yang lebih erat, kita boleh membentuk masa depan pelancongan baharu yang bukan sahaja menawarkan pengalaman bermakna kepada pelancong, tetapi juga mendorong pertumbuhan dan jalinan global,” katanya.
Pertumbuhan ini turut diperkukuh melalui kerjasama antara Alipay+ dan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) bagi memperluas penerimaan pembayaran serta meningkatkan pengalaman pelancong. Inisiatif ini dijangka mendorong tiga trend utama yang akan membentuk landskap ekonomi pelancongan Malaysia pada 2025 dan tahun-tahun berikutnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad berkata, peningkatan penggunaan dompet digital menunjukkan bahawa pembayaran secara digital kini merupakan sebahagian daripada elemen penting dalam pengalaman pelancongan di Malaysia.
Katanya, kerjasama antara PayNet dan Alipay+ membolehkan pelancong berbelanja dengan lebih mudah di Malaysia menggunakan dompet digital dari negara asal mereka melalui DuitNow QR.
“Kolaborasi ini bukan sahaja memudahkan urusan perjalanan, tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembayaran digital yang inklusif dan saling terhubung. Dalam persiapan menuju Visit Malaysia 2026, kami turut memastikan peniaga tempatan di seluruh negara, sama ada di bandar besar mahupun di pekan kecil dapat meraih manfaat secara langsung daripada perbelanjaan pelancong,” katanya. – UTUSAN





