KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran ekonomi menerusi kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan Thailand serta Kemboja, selagi kedua-dua negara mengekalkan keamanan di rantau ini.
Presiden AS, Donald Trump berkata, pendekatan itu menjadi asas kepada dasar baharu Washington yang mengaitkan keamanan dengan kemakmuran ekonomi, selaras dengan perjanjian damai dimeterai di sini semalam.
“Amerika Syarikat akan terus mengukuhkan kerjasama perdagangan dengan kedua-dua negara selagi mereka hidup dalam suasana damai,” katanya dalam majlis menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Trump berkata, perjanjian damai itu menandakan berakhirnya konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja yang tercetus di kawasan sempadan awal tahun ini, mengorbankan sejumlah nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan.
Thailand dan Kemboja bersetuju melakukan gencatan senjata yang sebahagiannya diusahakan oleh Trump, selepas lima hari pertempuran biarpun kedua-dua negara saling mendakwa berlaku pelanggaran perjanjian.
Trump turut memuji peranan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi pengantara utama dalam membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan.
“Kedua-dua pemimpin (Thailand dan Kemboja) amat menghormati antara satu sama lain, namun Perdana Menteri (Anwar) memainkan peranan penting dalam membantu mempertemukan kedua-dua pihak untuk mengadakan rundingan di Kuala Lumpur,” katanya.
Trump mengumumkan dua perjanjian ekonomi utama melibatkan perjanjian perdagangan baharu dengan Kemboja dan industri mineral kritikal dengan Thailand, sebagai simbol komitmen Washington terhadap kestabilan Asia Tenggara.
Presiden As itu turut mengimbas bagaimana beliau menghubungi kedua-dua pemimpin ketika berada di Turnberry, Scotland bagi mengelakkan konflik berlarutan.
“Kami duduk sepanjang hari membuat panggilan telefon. Ia menakjubkan bagaimana semuanya dapat diselesaikan dengan cepat. Ini lebih penting daripada bermain golf,” katanya.
Di bawah perjanjian damai tersebut, pemerhati daripada negara ASEAN termasuk Malaysia akan ditempatkan di kawasan sempadan bagi memastikan keamanan dikekalkan, manakala 18 tawanan perang dari Kemboja akan dibebaskan. – UTUSAN






