KUALA LUMPUR: Pekerja sektor gig berhak menubuhkan persatuan selain boleh diwakili oleh ahli keluarga dengan profesion yang sama dalam prosiding rundingan berkaitan pekerjaannya.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata, bagaimanapun persatuan hanya boleh mewakili pekerja sektor gig itu dalam sesi mediasi pertikaian di Tribunal Pekerja atau Majlis Rundingan (Majlis Tripartit) sekiranya mempunyai keahlian daripada profesion yang sama.
Katanya, ini kerana terdapat beberapa faktor di mana pekerja gig tidak dapat mempertahankan hak dalam sesi perundingan berikutan tiada undang-undang khusus yang membolehkan golongan wartawan atau jurugambar sambilan dilindungi.
“Sebagai contoh, Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJ) memohon kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Selangor (JHEKS) untuk memasukkan pengamal media bebas atau penyumbang kandungan (stringer) sebagai ahli kesatuan.
“Ia membolehkan pengamal media bebas menyuarakan hak mereka, contohnya hasil penulisan yang tidak dibayar sekiranya hasil kerja mereka tidak disiarkan.
“Jika undang-undang membenarkan perkara itu, maka kesatuan yang ditubuhkan boleh mewakili golongan pengamal media bebas ini,” katanya dalam sesi taklimat mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 bersama pengamal media bebas.
Tambah Steven Sim, kementeriannya yakin untuk berkerjasama dengan sokongan yang diberikan oleh kementerian dan suruhanjaya lain.
“Dalam Majlis Rundingan (Majlis Tripartit) bukan sahaja melibatkan majikan dan persatuan pekerja, malah kementerian yang terbabit. Contohnya, pekerja gig sektor e-hailing akan melibatkan Kementerian Pengangkutan sementara pengamal media akan melibatkan Kementerian Komunikasi,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memberitahu, pengamal media bebas juga memainkan peranan penting dan mempunyai tanggungjawab yang sama seperti pengamal media tetap.
Terdahulu, Presiden NUJ, Low Boon Tat, menyatakan, penggubalan RUU tersebut amat dialu-alukan kerana ramai antara mereka (pengamal media bebas) berdepan kesukaran seperti memohon pinjaman wang daripada bank.
“Kami berharap agar diwujudkan satu model penyelesaian bagi mereka yang bekerja secara separuh masa atau kontrak dalam bidang itu. Kami juga berharap agar ada jaringan keselamatan sosial serta sokongan daripada kementerian sekiranga kontrak mereka tidak disambungkan,” katanya.
RUU Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada akhir Ogos mengiktiraf lebih 1.2 juta pekerja sektor itu bagi mendapatkan hak rundingan gaji dan syarat kerja.
Kementerian Sumber Manusia melaksanakan siri jelajah di seluruh negara bagi berdialog dengan kumpulan pekerja gig untuk menerangkan implikasi undang-undang baharu itu. – UTUSAN






