KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, rayuan terhadap alasan penghakiman berhubung hak 40 peratus hasil Sabah dibuat bagi mengelakkan salah tanggapan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri sejak 1974 dan tindakan di luar serta melanggar Perlembagaan.
Perdana Menteri berkata, alasan penghakiman yang mendakwa kajian semula pemberian khas selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tidak rasional serta mengaitkan kesilapan besar kerajaan sejak 1974 seolah-olah menyalahkan kerajaan terdahulu.
“Ini seolah-olah menghukum semua kerajaan daripada era Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hinggalah sekarang termasuk kerajaan negeri Sabah di bawah Tun Datu Mustapha dan Tun Fuad Stephens,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebaliknya merayu atas alasan kecacatan dalam isu yang lain.
Anwar berkata, tindakan kerajaan hanya tertumpu kepada memperbetulkan alasan penghakiman tersebut dan bukan komitmen pelaksanaan hak Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita tidak merayu keputusan berhubung 40 peratus hasil itu kerana ia termaktub dalam Perlembagaan. Namun perlu memfailkan rayuan terhadap alasan penghakiman yang mengandungi kenyataan bahawa kerajaan bertindak tidak rasional atau tidak berperlembagaan sejak 1974.
“Ia penting supaya tidak wujud tanggapan bahawa semua kerajaan sejak 1974 bertindak di luar Perlembagaan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, Kementerian Kewangan melalui Perbendaharaan telah menghantar surat rasmi kepada kerajaan sementara Sabah bagi memulakan rundingan teknikal berhubung pemberian khas 40 peratus hasil negeri itu, sebelum terbentuknya kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, langkah itu menandakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh pelaksanaan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, laporan hasil rundingan itu nanti akan dibawa ke Jawatankuasa Teknikal Tertinggi MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II, sebelum dibawa ke Majlis Tindakan MA63 yang pengerusikan beliau sendiri.
“Sabah Ketika ini dalam tempoh PRN dan status kerajaan adalah sementara. Namun, proses teknikal dan rundingan boleh dimulakan lebih awal agar perbincangan rasmi dapat diteruskan sebaik kerajaan negeri baharu dibentuk.
“Kita tidak mahu dianggap melengah-lengahkan proses. Surat rasmi telah dihantar untuk membolehkan rundingan teknikal dimulakan segera. Dalam hal ini, kita perlu menjaga semangat perpaduan antara negeri dan Persekutuan,” katanya.
Menurut beliau, proses itu selaras dengan semangat federalisme dan peruntukan Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak negeri Sabah dan Sarawak dalam perkongsian hasil negara.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan mahu memastikan proses rundingan itu dilaksanakan secara menyeluruh, profesional dan telus agar hasilnya memberi manfaat sebenar kepada rakyat Sabah.
“Kita mahu isu 40 peratus ini diselesaikan melalui perundingan yang adil dan berdasarkan semangat MA63, bukannya polemik politik,” tegasnya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Anwar berkata, tidak wujud percanggahan dalam kenyataan media dibuat Jabatan Peguam Negara Selasa lalu, kerana kerajaan mahu mengasingkan dua isu berbeza iaitu keputusan menghormati semangat Perlembagaan dan alasan penghakiman dalam kes berkenaan.
“Kita kena ingat, ini serius dan apakah Kota Bharu mahu terima tuduhan terbabit, kita rasa tak sesuai kerana dalam menjalankan tugas rasmi kerajaan, apalagi bila disebut mengenai tidak berperlembagaan sejak 1974, sebahagian keputusan dikaitkan dalam penghakiman.
“Jadi, alasan dan juga ‘substantive order’ itu kita rasa perlu dirayu serta beberapa rekod harus dipadamkan kerana kita rasa tak adil (dan) tak tepat kerana menghukum semua kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, pemberian khas kepada Sabah itu adalah berasingan daripada peruntukan pembangunan negeri yang disalurkan melalui belanjawan tahunan. – UTUSAN





