PETALING JAYA: Kos perpindahan ke Sabah dan Sarawak yang mencecah sehingga RM10,000 menjadi halangan bagi doktor kontrak menerima jawatan tetap di kawasan berkenaan.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, perkara itu menimbulkan kebimbangan terhadap pelaksanaan penyerapan 4,500 doktor kontrak ke jawatan tetap secara berperingkat yang diumumkan kerajaan Oktober lalu.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu memberikan pampasan atau membenarkan doktor tetap terutamanya yang ditempatkan ke Sabah dan Sarawak membuat tuntutan kos perpindahan memandangkan mereka terpaksa menanggung perbelanjaan tinggi.
“Isu kos perpindahan ini amat merisaukan. Walaupun pihak kami tiada data khusus, namun melalui tinjauan yang dilakukan di Facebook dan Telegram, hampir 80 peratus para doktor beranggapan kos ini terlalu besar.
“Ramai di antara mereka (doktor) tidak mempunyai modal untuk menanggung kos perpindahan dan ramai yang terpaksa menolak tawaran tersebut kerana perkara ini.
“Oleh itu, kerajaan harus menanggung sepenuhnya kos perpindahan para doktor dan tidak menyukarkan proses untuk claim kos tersebut,” katanya kepada Nexbyte.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, seramai 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap tahun hadapan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh sistem kesihatan awam dan meningkatkan kebajikan petugas perubatan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, langkah itu menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memastikan isu lantikan tetap dalam sektor kesihatan ditangani secara progresif dan menyeluruh.
Mengulas lanjut, Muhammad berkata, ketelusan dalam proses lantikan doktor kontrak ke jawatan tetap juga masih belum jelas kerana tiada dokumen rasmi menunjukkan kriteria pemilihan yang digunakan.
“Kerajaan ada menyatakan bahawa proses tersebut telus, tetapi sehingga kini tiada hitam putih tentang bagaimana pemilihan tersebut dibuat.
“Kriteria-kriteria yang diambil kira dalam pemilihan juga tidak diberi tahu sehingga sekarang,” katanya. – UTUSAN






