BALING: Kerajaan negeri Kedah belum membuat sebarang keputusan berhubung kenaikan cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memandangkan proses itu masih di peringkat semakan dan bantahan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, orang ramai tidak patut membuat kesimpulan awal bahawa cukai sudah dinaikkan kerana proses masih berjalan dan kenaikan hingga 245 peratus seperti didakwa tidak benar.
Katanya, daripada 95,710 pemilik pegangan di bawah MBAS, hanya kira-kira 8,000 atau 10 peratus hadir menyatakan bantahan terhadap notis cukai taksiran baharu.
“Yang bising tu bukan dalam 10 peratus tu. Yang bising tu orang luar, orang yang tak terlibat pun. Orang dari Kuala Lumpur, Ipoh, Baling, Sik mereka ni yang sibuk, bukan warga bandar raya pun. Jadi tak payah sensasikan,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Kedah, di sini, semalam.
Menurut beliau, kenaikan yang disebut tinggi itu hanya melibatkan premis kilang dan bukan rumah kediaman seperti disebarkan dalam media sosial.
“Notis naik tak banyak, berapa ramai yang ada kilang di Alor Setar dan sejak bila pula ada pejuang kilang. Bukankah kita pejuang rakyat,” katanya.
Ujarnya, isu semakan semula cukai taksiran bukan perkara luar biasa kerana ia juga dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri lain.
Beliau berkata, urusan ketika ini masih dalam bidang kuasa MBAS dan Datuk Bandar Alor Setar, sebelum laporan penuh dibentangkan kepada pihak berkuasa negeri (PBN) untuk pertimbangan dan kelulusan.
“Itu semua ada peranan, fungsi dan tanggungjawab masing-masing. Datuk Bandar sudah bagi penjelasan, saya rasa semua sudah jelas. Bila dia angkat laporan kepada PBN barulah masuk dalam bidang kuasa saya, sekarang belum lagi.
“Bila dah sampai kepada PBN, barulah dibentang dan dipertimbang dalam mesyuarat Exco, masa itu baru ada keputusan, sekarang belum ada keputusan,” katanya.
Tambah beliau, semakan kadar cukai itu sebenarnya perlu dibuat setiap lima tahun mengikut peruntukan undang-undang, namun MBAS sudah 32 tahun tidak melaksanakannya.
“Bila pembangunan makin pesat, rumah makin banyak, bangunan makin banyak, parit makin besar tapi parit di Alor Setar masih kecil. Bila kawasan makin luas, servis makin banyak, tapi duit duk banyak tu juga.
“Itu yang jadi masalah. Dah dekat 40 tahun tak ada semakan, pendapatan dah stagnant (tepu).
“Kawasan pembangunan baharu pun dah sampai ke bendang. Nak majukan tanah bendang pula kos tinggi, tambun tanah pun sama kos dengan beli tanah baharu. Jadi caj pemajuan yang menampung sedikit pendapatan PBT pun berkurang, bergantung pada cukai,” katanya. – UTUSAN






