KUBANG PASU: Seramai 11,377 pengembara memasuki Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada musim cuti sekolah ini dalam tempoh dua hari sejak Khamis lalu.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, jumlah itu melibatkan seramai 4,881 pengembara kelmarin dan 6,496 orang, semalam.
“Jumlah yang masuk ke Malaysia pula seramai 3,398 pada kelmarin dan 3,619 orang semalam. Satu Notis Penolakan Masuk dikeluarkan terhadap seorang lelaki Bangladesh semalam,” katanya di sini, semalam.
Mohd. Nasaruddin berkata, jumlah bas yang melalui pemeriksaan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam juga berkurangan dalam tempoh berkenaan.
Kompleks ICQS itu antara pintu sempadan yang menjadi tumpuan setiap kali musim cuti sekolah, mahupun cuti umum dan seramai 17,030 orang dilaporkan berpusu-pusu ke negara jiran sempena musim cuti sekolah dan cuti umum Hari Malaysia, September lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 15,718 adalah rakyat Malaysia diikuti warga Thailand (975), Indonesia (85), China (50), India (22) dan negara lain (180).
Pada November lalu, Hat Yai di Wilayah Songkhla yang menjadi destinasi tumpuan rakyat Malaysia bercuti dilanda banjir besar menyebabkan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia terkandas.
Sektor pelancongan di bandar tersebut masih dalam proses pemulihan, dijangka dapat menerima semula kehadiran pelancong dalam tempoh dua bulan. – MINGGUAN






