PETALING JAYA: Sebanyak 300,000 majikan yang berdaftar di negara ini gagal membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pekerja dalam tempoh ditetapkan dengan melibatkan penalti sebanyak RM157 juta.
Kegagalan itu menyebabkan pekerja tidak dilindungi di bawah Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan jika berlaku kemalangan atau penyakit berkaitan pekerjaan.
Malah, ia juga menyebabkan pekerja tidak mendapat faedah seperti bayaran perubatan, pampasan atau pencen ilat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, jumlah majikan tidak membayar caruman Perkeso itu dicatatkan dari tahun 2018 sehingga tahun ini.
Justeru, kata beliau, bagi membantu meringankan beban majikan menjelaskan caruman Perkeso, diskaun sebanyak 80 peratus diberikan menerusi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) yang akan berakhir Februari ini.
“Kami menyedari cabaran yang dihadapi oleh sesetengah majikan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan dengan peningkatan kos operasi.
“Oleh itu, pengurangan FCLB untuk tempoh kira-kira dua bulan adalah wajar bagi membantu memastikan kelangsungan operasi majikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja sulung ke Menara Perkeso semalam.
Sementara itu, Ramanan berkata, pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Pekerjaan, (Lindung 24 Jam) disasarkan untuk dilancarkan pada suku pertama atau kedua tahun depan.
Selain itu, beliau berkata, Perkeso juga telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi Skim Pengembara dalam memastikan kira-kira 400,000 pekerja rentas sempadan yang berulang-alik setiap hari melalui Tambak Johor menerima perlindungan keselamatan sosial.
“Saya komited memastikan skim ini dilaksanakan secara berterusan, lancar dan berkesan demi kebajikan pekerja, selain melindungi mereka sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.
“Selain itu, kita juga bersetuju untuk mencari mekanisme perlindungan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan merentasi Tambak Johor hampir setiap hari. Saya telah meminta Perkeso meneliti kaedah terbaik bagi memastikan golongan ini tidak tercicir daripada perlindungan keselamatan sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, semua permohonan faedah membabitkan empat akta di bawah Perkeso boleh dikemukakan sepenuhnya secara dalam talian berkuat kuasa bulan depan.
Katanya, langkah itu merupakan sebahagian daripada pembaharuan dasar yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta akses kepada pencarum dan penerima faedah di seluruh negara.
“Bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada lebih 10 juta pekerja dalam sektor formal dan tidak formal, Perkeso diarahkan supaya semua permohonan faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 disediakan secara dalam talian.
“Selain itu portal Lindung Faedah ini turut membantu permohonan bagi Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Hilang Upaya Sementara, Pencen Ilat, Kecederaan Pekerjaan, Faedah Orang Tanggungan dan Pencen Penakat.
“Ini akan melancarkan lebih 200,000 permohonan faedah Perkeso yang dikemukakan setiap tahun tanpa membebankan pencarum serta tanggungan mereka,” katanya. – UTUSAN






