PETALING JAYA: Kangar diiktiraf sebagai destinasi persaraan ideal berikutan kos sara hidup rendah, mencatat Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) 59.2 mata indeks.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata beberapa bandar di negara ini dikenal pasti kerana kos sara hidupnya lebih rendah berbanding ibu kota.
Menurutnya, antara bandar lain yang mempunyai kos sara hidup rendah ialah Kota Bharu, Alor Setar, Kuala Terengganu, dan Kangar, menjadikannya pilihan menarik untuk warga persaraan.
“Indeks PAKW ditetapkan dengan Kuala Lumpur sebagai rujukan (100), manakala semua lokasi lain diukur secara relatif. Nilai lebih rendah menunjukkan kos hidup lebih rendah berbanding ibu kota,” katanya.
Tambah Mohd. Uzir, untuk isi rumah empat orang, indeks terendah dicatat di Kangar (59.2), diikuti Kota Bharu (64.6), Alor Setar (71.4) dan Terengganu (68.2) bagi seorang.
“Negeri dengan indeks tinggi, seperti Selangor, mencerminkan kos hidup lebih tinggi, manakala negeri dengan indeks rendah seperti Kelantan, Kedah dan Perlis menunjukkan kos hidup lebih rendah tetapi masih wajar,” katanya.
Analisis Nexbyte mendapati kos sara hidup di bandar sibuk seperti Petaling dan Shah Alam jauh lebih tinggi berbanding lima bandar persaraan dengan indeks rendah, menekankan perbezaan ketara.
Menerusi PAKW, Selangor sekali lagi mencatat indeks tertinggi 91.3 mata, diikuti W.P. Putrajaya (84.7) dan Melaka (83.0), berbeza dengan bandar persaraan yang lebih mampu milik.
Sementara itu, pakar ekonomi dan kos sara hidup Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Madya Dr. Mohd. Haniff Jedin berkata, menerusi Indeks PAKW kecenderungan penduduk untuk beralih ke bandar berkos rendah seperti Kota Bharu, Alor Setar, Kangar dan Kuala Terengganu semakin meningkat.
Katanya, ini kerana tren ini dikenali sebagai terma ‘balik kampung’ yang melibatkan pesara dan penduduk yang tidak lagi mampu bertahan dengan kos kehidupan bandar besar pada masa kini.
Tambah Mohd. Haniff pesara yang berpindah ke kawasan PAKW berindeks rendah ini kebanyakan daripada mereka mempunyai matlamat hidup untuk hidup dengan gaya yang lebih sederhana, berkos rendah.
“Ini kerana pengamalan gaya hidup yang lebih sederhana secara tidak langsung dapat memastikan tahap kesihatan fizikal terpelihara untuk jangka panjang, berbanding kehidupan di kawasan berkos sara hidup tinggi yang sering memberi tekanan terhadap kesihatan mental,” katanya kepada Nexbyte.
Mohd. Haniff turut berkata fenomena pemindahan warga ibu kota ke kawasan PAKW berindeks rendah ini dapat dilihat apabila banyak rumah lama di Shah Alam dan Bangi mula dijual secara sub sale bagi tujuan berpindah kawasan rendah.
Menurutnya, hasil jualan rumah yang tinggi membolehkan mereka membina kehidupan baharu lebih sihat tenteram tanpa tekanan kos bandar besar dalam kehidupan harian mereka.
“Dengan hasil jualan rumah yang tinggi, mereka dapat membina kehidupan baru yang lebih sihat, tenteram dan tidak tertekan akan kehidupan bandar-bandar besar yang memerlukan kos yang tinggi.
“Gaya hidup yang tidak memerlukan kapasiti kompetensi yang tinggi dan kos yang rendah menyebabkan bandar-bandar yang rendah indeks PAKW ini menjadi tumpuan bagi golongan pesara.
“Ini adalah juga satu penyebab yang mana bandar-bandar PAKW yang rendah indeksnya sentiasa berada dalam keadaan terkawal keran tren ini,” katanya.
Selain itu, Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Nur Asyikin Aminuddin berkata, indeks PAKW wajar dijadikan rujukan penting oleh pihak majikan dalam penetapan gaji, agar kadar upah yang ditawarkan selari dengan kos kehidupan sebenar di negeri atau wilayah berkenaan.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan pekerja menerima gaji yang bermaruah, dan bukan sekadar mencukupi untuk kelangsungan hidup minimum.
“Dalam masa yang sama, PAKW juga boleh dimanfaatkan oleh rakyat sebagai panduan dalam perancangan kehidupan, termasuk membuat keputusan lebih berinformasi berkaitan pemilihan lokasi tempat tinggal atau persaraan, berdasarkan kemampuan sebenar kos kehidupan di sesuatu negeri,” katanya. – UTUSAN





