KUALA LUMPUR: Kerajaan memindahkan program Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta Matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan ke bawah Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menyelaraskan proses penilaian dan laluan kemasukan pelajar ke peringkat universiti.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pengambilalihan program itu merupakan antara perubahan besar yang akan dilakukan kerajaan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026 hingga 2035 yang kini menunggu masa sesuai untuk dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, pelan baharu itu akan mula dilaksanakan mulai tahun hadapan dan menjadi kerangka utama hala tuju pendidikan tinggi negara dalam tempoh satu dekad akan datang.
“Langkah tersebut selari keperluan semasa dan akan memperkukuh struktur pentadbiran pendidikan tinggi yang merangkumi universiti, politeknik dan kolej komuniti di bawah kementerian berkenaan,” katanya pada Majlis Apresiasi Media Kementerian Pendidikan Tinggi di sini, semalam.
Fokus utama kementerian ketika ini kata beliau, adalah memastikan penyediaan bakat dilakukan secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada aspek akademik tetapi juga pembangunan personaliti, kemahiran dan nilai kepimpinan pelajar.
“Setiap pelajar, sama ada di universiti, politeknik atau kolej komuniti, perlu dilengkapi pakej kemahiran lengkap supaya mereka yakin dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan selepas tamat pengajian,” katanya.
Tambah Zambry, antara penekanan utama adalah penerapan nilai keusahawanan menerusi program yang dirangka bagi memperkukuh kemahiran perniagaan serta membina daya tahan diri pelajar.
Selain itu, konsep pemerkasaan industri dalam kampus akan diperluas bagi memastikan pembelajaran tidak hanya berasaskan teori, sebaliknya pelajar turut memperoleh pengalaman praktikal melalui penglibatan langsung dengan industri.
“Nilai kepimpinan turut diberi perhatian serius dengan pelaksanaan program seperti I-Future yang menghimpunkan pemimpin pelajar dari dalam dan luar negara bagi membina keyakinan, kemahiran komunikasi dan kemampuan memimpin komuniti.
“Kesemua usaha itu adalah sebahagian daripada agenda besar kementerian untuk membentuk graduan berdaya saing yang mampu memimpin masa depan negara melalui ekosistem pendidikan tinggi yang lebih mantap, tersusun dan inklusif,” katanya. – UTUSAN






