TEMERLOH: Kecekalan seorang anak muda mengambil alih perniagaan keluarga selepas bapanya lumpuh akibat strok menjadi inspirasi di sebalik kejayaan Kayuma Industry, pengeluar perabot meja berteknologi epoksi yang beroperasi di Kampung Peragap, Kerdau, di sini.
Najib Iskandar Mohamad, 24, kini memikul tanggungjawab meneruskan operasi bengkel berkenaan sejak dua tahun lalu selepas bapanya, Mohamad Awik, 57, tidak lagi mampu bergerak aktif akibat masalah kesihatan.
Katanya, keputusan meneruskan perusahaan keluarga itu bukan sesuatu yang mudah, namun didorong rasa tanggungjawab dan keinginan mempertahan legasi bapanya yang membina nama dalam industri perabot berasaskan kayu tropika dan teknologi epoksi.
“Sejak di bangku sekolah menengah saya sudah membantu ayah di bengkel. Ilmu, kemahiran serta disiplin kerja yang diturunkan itu menjadi bekalan penting apabila saya mengambil alih sepenuhnya perniagaan ini,” katanya kepada Nexbyte.
Menurut Najib Iskandar, meneruskan legasi bapanya bukan sekadar mencari rezeki, sebaliknya satu amanah keluarga yang perlu dipertahankan apatah lagi apabila perusahaan itu pernah menerima perhatian dan sokongan diraja yang menjadi kebanggaan tersendiri.
Katanya, cabaran paling besar adalah memastikan kualiti hasil kerja kekal konsisten seperti ketika bapanya masih aktif di samping mengekalkan kepercayaan pelanggan lama dan menarik pelanggan baharu.
“Ayah selalu menekankan soal kesabaran, imaginasi dan kejujuran dalam berkarya. Prinsip itu saya pegang supaya kualiti Kayuma Industry terus terpelihara walaupun diterajui generasi baharu,” katanya.
Kayuma Industry pernah menerima kunjungan istimewa Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, ketika baginda menjadi Raja Permaisuri Agong yang berkenan mencemar duli melihat sendiri proses pembuatan meja berteknologi epoksi.
Kunjungan diraja itu bukan sahaja mengangkat reputasi Kayuma Industry, malah menjadi detik penting yang melonjakkan keyakinan pengusaha tempatan terhadap potensi teknologi epoksi dalam industri perabot kayu bernilai tinggi. – UTUSAN






