KANGAR: Seruan Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Ali agar kepemimpinan dan seluruh ahli parti menyokong pentadbiran Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar menarik perhatian.
Kenyataan secara tiba-tiba itu hadir selang beberapa hari selepas pengumuman jawatan barisan Perhubungan Pas negeri yang menyaksikan Mohd. Shukri gagal menempatkan diri dalam barisan kepemimpinan tersebut.
Baru-baru ini, Mohd. Shukri kalah dalam pemilihan jawatan Yang Dipertua Pas kawasan Arau selain gagal menempatkan diri dalam barisan jawatankuasa Pas pusat sebelum dilantik mengisi jawatan berkenaan.
Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Pesuruhjaya Pas negeri turut diganti dengan Ahmad manakala jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri diganti oleh Datuk Seri Shahidan Kassim.
Ketika ini, dalam kepemimpinan parti di peringkat negeri dan kawasan, Mohd. Shukri tidak memegang sebarang jawatan termasuk di dalam PN.
Kenyataan Ahmad yang menyeru menyokong kepemimpinan Mohd. Shukri itu turut dikongsi di dalam Facebook Menteri Besar itu.
Ahmad juga mengingatkan kepemimpinan dan ahli Pas di seluruh Perlis agar menolak sebarang usaha yang cuba mengganggu-gugat pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Mohd. Shukri.
“Seluruh ahli parti perlu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepemimpinan Mohd. Shukri demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara.
“Kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Mohd. Shukri telah menunjukkan komitmen jelas dalam memperkukuh tadbir urus, menjaga kebajikan rakyat, serta mempertahankan prinsip Islam dan kepentingan ummah selaras dengan dasar perjuangan Pas dan PN,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sementara itu Ahmad Ali berkata, kepemimpinan dan ahli Pas di semua peringkat perlu menolak sebarang agenda luar yang cuba menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri dan memperbaharui tekad dalam mengukuhkan kesepaduan, disiplin serta kebersamaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Katanya keperluan mempertahankan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar penting bagi memastikan kesinambungan agenda pentadbiran berteraskan integriti, keadilan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan.
Mohd. Shukri turut merakamkan penghargaan kepada Pesuruhjaya Pas Perlis atas sokongan berterusan terhadap kepemimpinan beliau. Katanya, sokongan tersebut memperkukuh kesepaduan saf kepemimpinan dan memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat diteruskan dengan baik.
“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan dan keikhlasan perjuangan, kita akan terus melangkah ke hadapan demi Perlis lebih sejahtera, berintegriti dan diberkati Allah SWT,” katanya.
Barisan kepemimpinan baharu Perhubungan Pas Perlis bagi sesi 2025-2027 menyaksikan Ahmad sebagai Pesuruhjaya Pas negeri manakala Saad Seman merangkap Yang Dipertua Pas kawasan Padang Besar dan Yussaine Yahya sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Kangar masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas I dan II.
Shahidan yang baru dua tahun menyertai Pas turut dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas III. – MINGGUAN






