PETALING JAYA: Lebih RM8.4 bilion hasil rasuah berjaya dirampas dan dipulihkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi pelbagai tindakan penguatkuasaan bermula awal tahun ini sehingga 30 November lalu.
Daripada jumlah itu, sitaan aset mencatat nilai tertinggi melibatkan RM6.82 bilion iaitu sebanyak RM6.26 bilion dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti
Haram 2001 (AMLATFPUAA) dan RM566.77 juta lagi disita mengikut Akta SPRM 2009.
SPRM memaklumkan, aset bernilai RM36.14 juta turut dibekukan di bawah AMLATFPUAA 2001 selain melucut hak aset berjumlah RM7.49 juta melalui pelbagai peruntukan undang-undang, termasuk Akta SPRM 2009 dan Kanun Tatacara Jenayah.
“Bagi tindakan kompaun pula, SPRM berjaya mengutip RM49.58 juta manakala kaedah lain pemulihan aset menyumbang nilai besar iaitu RM1.49 bilion,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Daripada segi operasi, SPRM memberitahu, sebanyak 6,114 maklumat berkaitan rasuah diterima sepanjang tempoh sama.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 966 kertas siasatan dibuka selain 1,128 tangkapan dilakukan, membawa kepada 445 pertuduhan dan 189 sabitan di mahkamah.
Kata SPRM, analisis tangkapan menunjukkan sektor swasta mencatat jumlah tertinggi dengan 504 individu, diikuti penjawat awam (423 orang), orang awam (163), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) (34) dan ahli politik (4).
“Mengikut jantina, lelaki mendominasi tangkapan dengan 904 orang, berbanding 224 wanita,” jelasnya.
SPRM berkata, kesemua nilai rampasan dan sitaan membabitkan siasatan dijalankan termasuk kes rasuah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Prestasi ini mencerminkan pendekatan tegas SPRM bukan sahaja dalam aspek tangkapan dan pendakwaan, malah menumpukan pemulihan aset sebagai strategi utama memerangi rasuah dan jenayah kewangan,” katanya. – UTUSAN





