PETALING JAYA: Kadar tambang bas sekolah bagi tahun hadapan dijangka kekal walaupun pengusaha berdepan tekanan kos operasi yang semakin meningkat.
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, sejak 2015 kerajaan tidak lagi menetapkan sebarang kawalan harga tambang bas sekolah dan menyerahkan sepenuhnya kepada kuasa pasaran.
Katanya, sebarang semakan kadar tambang hanya boleh dibuat berdasarkan keputusan syarikat pengusaha dengan mengambil kira penyata untung rugi semasa.
“Jangkaan kenaikan bas sekolah bergantung sepenuhnya ke atas pengusaha bas dan ibu bapa, namun peningkatan kos operasi menjadi faktor utama dalam sesuatu kenaikan tambang bas,” katanya kepada Nexbyte.
Menurutnya, peningkatan kos diesel memberi kesan langsung kepada harga alat ganti dan tayar selain kos insurans bas yang melonjak sejak pertengahan tahun ini.
“Pengusaha tidak akan beroperasi dalam keadaan rugi. Jika kos meningkat, mereka terpaksa berunding semula kadar tambang di antara pengusaha dan juga ibu bapa bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan.
“Perbincangan ini merupakan rundingan antara ibu bapa dengan pengusaha. Jika ibu bapa tawar, seterusnya yang terakhir itu terpulang kepada pihak pengusaha.
“Tahun ini sahaja hampir satu juta pelajar menggunakan perkhidmatan bas sekolah di negara ini. Lebih 6,000 pengusaha bas dan van sekolah yang harus berbincang terlebih dahulu dengan ibu bapa sebelum membuat keputusan menaikkan harga tambang perkhidmatan tersebut,” katanya.
Difahamkan yuran tambang bas sekolah yang dikenakan ketika ini adalah sekitar RM80 hingga RM100 sebulan sekiranya kadar tambang bas tersebut kekal tanpa peningkatan.
Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Rafik Mohd. Yusof berkata, isu kenaikan tambang tidak dibincangkan buat masa ini kerana pengusaha masih tertakluk kepada akta dan peraturan sedia ada.
Katanya, pendekatan seimbang perlu diambil bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan bas sekolah tanpa membebankan ibu bapa dalam keadaan kos sara hidup yang mencabar.
Bagaimanapun, Pengerusi Bas Sekolah Daerah Johor Bahru, Nik Izan Mustapa menyuarakan rasa kecewa apabila tiada sebarang skim bantuan atau insentif diperuntukkan kepada pengusaha bas sekolah dalam belanjawan semasa.
“Sekiranya kenaikan tambang tidak dilakukan tanpa sokongan kerajaan ia boleh menyebabkan sebahagian pengusaha menutup operasi.
“Ia bukan sahaja menjejaskan perkhidmatan malah menekan kehidupan pengusaha yang bergantung sepenuhnya kepada sektor berkenaan untuk menyara keluarga,” katanya. – UTUSAN






