PUTRAJAYA: Sebanyak 1.3 juta pertubuhan perniagaan di seluruh negara akan terlibat dalam Banci Ekonomi 2026 bagi menetapkan semula asas data ekonomi pasca pandemik Covid-19.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, buat pertama kali banci itu turut memberi penekanan khusus kepada sektor informal dan ekonomi rakyat yang sebelum ini sukar direkodkan secara menyeluruh.
“Banci ini bukan sahaja melibatkan pertubuhan berdaftar, malah merangkumi sektor informal seperti penjaja makanan, peniaga pasar tani, perniagaan mikro bergerak, perkhidmatan gig serta pengusaha homestay yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata, banci itu melibatkan semua kategori pertubuhan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sehingga syarikat besar merangkumi lima sektor utama ekonomi negara.
Katanya, data kewangan yang akan dikumpul dalam Banci Ekonomi 2026 adalah berdasarkan prestasi pertubuhan bagi tahun kewangan 2025, selaras dengan keadaan ekonomi negara yang telah kembali stabil.
“Pengumpulan data banci ini bakal meliputi lima sektor utama ekonomi negara termasuk perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian,
“Data yang dikumpul dalam Banci Ekonomi 2026 akan menggunakan maklumat tahun kewangan 2025, selaras dengan keadaan ekonomi negara yang telah kembali stabil selepas tempoh pemulihan pasca Covid-19,” katanya.
Tambahnya, buat pertama kali banci itu turut memberi penekanan khusus kepada sektor informal dan ekonomi rakyat yang sebelum ini sukar direkodkan secara menyeluruh.
Beliau berkata, banci itu juga akan menumpukan pada sektor-sektor baharu dan aktiviti ekonomi yang semakin berkembang di peringkat akar umbi termasuk penginapan berkonsepkan homestay dan aktiviti pelancongan komuniti.
“Kini terdapat banyak aktiviti ekonomi baharu seperti kandungan digital, e-dagang dan perkhidmatan berasaskan platform yang perlu direkodkan dalam sistem statistik negara.
“Selain itu, kita dapat lihat banyak aktiviti ekonomi baharu muncul termasuk homestay di kawasan luar bandar dan desa yang sebelum ini tidak direkodkan secara menyeluruh walaupun permintaannya semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata, hasil Banci Ekonomi 2026 dijangka diterbitkan secara berperingkat mengikut tiga fasa iaitu melibatkan pengumpulan data bagi pertubuhan sektor informal dan mikro, pertubuhan mikro, kecil dan sederhana serta pertubuhan sederhana dan besar.
“Fasa Satu bermula pada 5 Januari sehingga 28 Februari 2026, kemudian Fasa Kedua 1 Mac hingga 30 Jun 2026, manakala Fasa Ketiga 1 Jun hingga 31 Oktober 2026.
“Banci ini akan menjadi rujukan utama kepada kerajaan, pembuat dasar dan pelabur dalam merangka dasar serta hala tuju ekonomi negara secara lebih tepat dan inklusif,” katanya. – UTUSAN





