SEPANG: Pencemaran bau dan stigma orang ramai di Tanjung Sepat yang menggelarkan ‘perkampungan babi‘ menyebabkan pelancong dari dalam dan luar negara kurang gemar mengunjungi ke kawasan ini sehingga memberi kerugian kepada pengusaha pusat peranginan.
Pengusaha pusat peranginan, Noridah Endut, 65, berkata, persepsi negatif yang berlarutan sejak lebih dua dekad lalu itu memberi kesan langsung kepada operasi pusat peranginan, perniagaan kecil dan komuniti tempatan yang bergantung kepada sektor pelancongan.
Katanya sebagai wakil pengusaha pusat peranginan sekitar Tanjung Sepat, walaupun Tanjung Sepat memiliki keindahan pantai serta potensi besar sebagai destinasi pelancongan, masalah bau busuk yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi sering menjadi rungutan utama pengunjung.

“Ramai yang berminat untuk datang bercuti, tetapi mereka akan datang sekali sahaja dan tidak kembali semula kerana tidak selesa dengan bau,” katanya ketika ditemui Nexbyte di sini, semalam.
Noridah berkata, keadaan itu menjadi lebih teruk terutama pada waktu petang dan malam sehingga boleh menyebabkan pelbagai projek terpaksa dihentikan.
“Bau memang kuat terutama pukul lima petang waktu mereka mandikan babi. Orang luar sampai sahaja ke kawasan ini, perkara pertama mereka cakap adalah bau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan kawasan berkenaan pernah menarik minat pelabur asing, termasuk dari Timur Tengah, yang berhasrat membeli tanah bagi membangunkan sebuah hotel serta kemudahan marina kecil untuk pelabuhan bot dan kapal layar.
Bagaimanapun, katanya, perancangan tersebut tidak diteruskan selepas pelabur terbabit membuat tinjauan di lokasi dan mendapati masalah bau wujud di kawasan berkenaan.
“Mereka sudah datang melihat tapak dan berminat untuk membeli, tetapi akhirnya tarik diri kerana bau dari ladang babi. Masalah ini menyebabkan kami kerugian besar kerana terlepas peluang menjana ekonomi di Batu Laut,” katanya.
Noridah berkata, selain menjejaskan pelancongan, pencemaran sisa ladang yang dialirkan ke sungai sebelum mengalir ke laut turut menyebabkan hakisan pantai semakin teruk, memaksa pihaknya mengambil inisiatif sendiri untuk menanam pokok bakau dan membina benteng perlindungan.

“Saya terpaksa berbelanja hampir RM500,000 untuk pemuliharaan pantai kerana kesan hakisan akibat pembuangan sisa najis babi itu. Kalau kawasan ini dipulihkan sepenuhnya, saya yakin pelancongan boleh bangkit semula,” katanya.
Sementara itu, peniaga di Kampung Batu Laut, Sah Hamid Samuri, 59, berkata proses pengangkutan haiwan menggunakan lori turut menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk, khususnya apabila lori yang membawa babi melalui kawasan perkampungan.
Menurutnya, lori terbabit sering mengeluarkan bau busuk dan air kotor yang dipercayai air basahan ternakan itu sehingga mengganggu pengguna jalan raya serta penduduk setempat.
“Kalau lori kosong tak jadi masalah, tapi apabila lori bawa babi, air akan menitis dan terpercik di jalan raya. Kadang-kadang kami naik motosikal, bila lori potong, air itu terkena, balik kena sertu pula,” katanya. – UTUSAN






