PETALING JAYA: Hampir lima juta individu di negara ini didapati merupakan penghisap rokok sekali gus menandakan kira-kira 14 peratus dari keseluruhan rakyat Malaysia mengalami ketagihan nikotin dan memerlukan rawatan segera.
Berdasarkan data Global State of Tobacco Harm Reduction, jumlah perokok di Malaysia mencapai 4.9 juta orang setakat 2024 dan empat juta daripadanya merupakan perokok tegar.
Jumlah itu dibimbangi meningkat sekiranya 1.4 juta pengguna vape memilih untuk kembali kepada rokok konvensional sekali gus menyumbang kepada peningkatan 27,000 rakyat Malaysia yang meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit berkaitan rokok.
Pakar perubatan kesihatan awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pengguna vape atau rokok elektronik berkemungkinan akan beralih ke rokok tembakau ekoran pengharaman yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Oleh itu, kata beliau, mereka perlu dikesan dan dibantu melalui rawatan Terapi Penggantian Nikotin (NRT) yang sudah mencatat kejayaan sekitar 50 hingga 70 peratus dalam membantu individu ketagihan nikotin terutama mereka yang menghisap rokok dan vape.
“Peralihan dari vape ke rokok tembakau adalah sangat berkemungkinan melainkan mereka berhenti merokok menggunakan cara NRT dan farmakologi. Perkara ini sangat membimbangkan dan kita perlu bekerja keras untuk mengenal pasti pengguna ini supaya rawatan NRT dan motivasi dapat dibekalkan kepada mereka,” katanya kepada Nexbyte.
Tambah beliau, beberapa kajian seperti kajian toksikologi, keselamatan pengguna termasuk ujian paru-paru mengesahkan penggunaan vape lebih selamat berbanding rokok tembakau.
Jelasnya, ia kerana vape tiada faktor pembakaran, kurang bahan kimia dan pencemaran dalam rokok elektronik itu.
“Vape yang halal sepatutnya tidak mengandungi dadah atau bahan pencemaran lain. Bagaimanapun ia masih tidak selamat sepenuhya, ini jika dibandingkan dengan rokok. Sebaiknya tidak perlu diambil oleh bukan perokok.
“Saya cadangkan konsep medical vape boleh diaplikasi dengan panduan tertentu dan ini pernah digunakan di beberapa negara luar. Ini bermakna pengguna vape bernikotin dipantau bawah pegawai perubatan atau farmasi untuk masih cuba berhenti merokok serta vape,” katanya. – UTUSAN






