PETALING JAYA: Peniaga bazar Ramadan terpaksa menanggung kos tambahan sehingga 30 peratus apabila terpaksa menggunakan khidmat pihak ketiga bagi mendapatkan tapak niaga, sekali gus menambah beban kewangan menjelang bulan puasa.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, sebahagian peniaga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kewujudan orang tengah yang mengenakan bayaran tambahan bagi urusan permit, meskipun tapak bazar sepatutnya diperoleh secara terus daripada pihak berkuasa tempatan.
Seorang peniaga kuih, Roziyah Jonit, 58 berkata, dia mengakui perkara itu berlaku dan menyebabkannya tetap memilih saluran rasmi untuk mendapatkan tapak bazar.
Katanya, semua urusan permohonan permit dibuat terus dengan pihak berkuasa atau penganjur, mengikut borang, syarat dan bayaran yang ditetapkan.
“Walaupun pada awal permohonan ada rasa risau kerana tapak bazar menjadi rebutan ramai, saya tetap pilih cara betul dan tidak guna khidmat orang lain.
“Kewujudan orang tengah sebenarnya menimbulkan beban tambahan kepada peniaga kecil. Misalnya dikenakan kos tidak munasabah, sedangkan ia tidak patut berlaku. Kalau semua ikut saluran rasmi, lagi senang dan aman untuk peniaga kecil macam kita,” katanya.
Bagaimanapun, sepanjang pengalamannya, dia tidak pernah dihubungi ejen atau orang tengah untuk menguruskan permit atau tapak kerana enggan berdepan kos berganda.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memastikan agihan lot atau tapak Bazar Ramadan tahun ini dibuat secara lebih teratur, telus serta menghalang segala bentuk cubaan pihak tertentu untuk meraih komisyen sebagai ejen. – UTUSAN





