KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas dan menyita pelbagai barangan seludup bernilai RM3 juta melalui 22 serbuan dalam tempoh 1 Januari lalu hingga kini.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, rampasan dibuat oleh Ibu Pejabat Briged berjumlah RM197,998; Batalion 4 PGA (RM1 juta), Batalion 5 PGA (RM48,792), Batalion 6 PGA (RM1.9 juta) dan Batalion 19 PGA (RM74,350).
“Rampasan melibatkan barangan kontraban, bot dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar di PGA Cheras di sini, hari ini.
Beliau berkata, seramai 94 individu turut ditahan dalam pelbagai operasi di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Selain itu katanya, bagi kes Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dari Januari 2025 sehingga 19 Januari lalu, seramai 442 individu ditahan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.33 juta.
Kata beliau, warga Indonesia merekodkan jumlah tangkapan tertinggi membabitkan 247 lelaki, 118 perempuan serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.
“Tangkapan turut melibatkan 43 lelaki dan sembilan perempuan warga Myanmar, selain enam kanak-kanak perempuan; tiga lelaki warga Bangladesh. Warga tempatan pula, seramai 12 lelaki dan seorang perempuan ditahan,” katanya.
Mengulas statistik tahun semasa, beliau berkata, setakat ini, dua kes ATIPSOM direkodkan melibatkan 61 warga Indonesia. – UTUSAN




