KUANTAN: Radium kini muncul sebagai isu keselamatan baharu dalam industri pemprosesan nadir bumi apabila kajian mendapati unsur radioaktif tersebut boleh tertumpu dalam aliran proses berair, sekali gus meningkatkan risiko radiologi jika tidak dikawal dengan teliti.
Ketua Program Sains Nuklear, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Aznan Fazli Ismail berkata, Malaysia secara umumnya lebih bersedia dari segi kesedaran dan kawal selia terhadap torium kerana radionuklid itu sudah lama menjadi fokus utama, terutama dalam konteks residu pepejal.
Namun, katanya, cabaran radium memerlukan pendekatan lebih menyeluruh kerana bahan itu boleh menjadi signifikan dalam aliran proses cecair selepas mineral berasaskan fosfat melalui rawatan kimia dan membentuk larutan kaya sulfat.
“Justeru itu, isu utama bukan kekurangan kesiapsiagaan tetapi keperluan untuk melengkapkan pendekatan sedia ada supaya merangkumi keseluruhan rantaian pemprosesan, bukan hanya residu pepejal,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Berhubung perbezaan torium dan radium, Dr. Aznan berkata, paling kritikal adalah tingkah laku kimia dan mobiliti dua radionuklid tersebut.
“Torium lazimnya tertumpu dalam fasa pepejal dan lebih mudah dikawal melalui pengurusan residu. Sebaliknya, radium lebih mudah larut dan bergerak dalam sistem berair, menjadikannya isu utama dalam aliran proses. Daripada sudut biologi, radium juga lebih berisiko kerana kecenderungannya untuk terkumpul dalam tulang.
“Jika radium tidak dikawal dengan baik, senario terburuk bukanlah kejadian serta-merta yang dramatik, tetapi pencemaran beransur dan pendedahan kronik dalam jangka panjang.
“Radium yang bergerak dalam sistem berair berpotensi mencemarkan persekitaran jika rantaian pemprosesan tidak direka dengan kawalan menyeluruh. Pendedahan berpanjangan ini boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan awam dan ekosistem,” ujarnya.
Menurutnya, sifat radium yang menyerupai kalsium perlu dikawal dengan baik kerana ia cenderung terkumpul dalam tulang manusia.
“Pendedahan jangka panjang kepada radium dikaitkan dengan risiko kesihatan yang serius, termasuk kanser tulang. Ancaman ini menjadi lebih ketara jika kawalan radiologi hanya tertumpu kepada torium, sedangkan radium boleh bergerak dan tersebar melalui aliran proses berair,” katanya.
Sementara itu, katanya, isu radium boleh menjadi penghalang daripada sudut keyakinan awam dan reputasi jika tidak ditangani secara telus dan berasaskan sains.
Namun, katanya, jika diurus dengan baik, keupayaan mengawal radium secara menyeluruh sebenarnya boleh menjadi kelebihan daya saing.
“Ekosistem industri yang berwibawa perlu menunjukkan keupayaan mengurus keselamatan radiologi secara holistik, dan dalam konteks ini, penyelidikan tempatan memainkan peranan penting menyokong pembangunan industri yang bertanggungjawab,” ujarnya.
Menurutnya, kajian semasa di UKM menunjukkan bahawa pengurusan radium perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh pengurusan unsur nadir bumi.
Katanya, pendekatan bersepadu itu mencerminkan hala tuju penyelidikan dan amalan industri yang lebih matang, bertanggungjawab serta selari dengan keperluan keselamatan radiologi dan kelestarian alam sekitar. – UTUSAN






