PUTRAJAYA: Seramai 85 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit baru-baru ini akan diarah menghadiri Kursus Pemantapan Akhlak di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hanifuddin Roslan berkata, dua lagi individu telah disiasat bagi tujuan pendakwaan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
“85 orang daripada mereka akan diarah kursus pemantapan akhlak, manakala dua orang telah disiasat bagi tujuan pendakwaan,” katanya kepada Nexbyte semalam.
Sebelum ini, Jawi mengadakan siasatan terhadap individu yang disyaki berkaitan Seksyen 25 (Liwat), Seksyen 29 (Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam) dan Seksyen 47 (Percubaan) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.
Mereka telah dipanggil dan hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi untuk diambil keterangan dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan berdasarkan kepada Seksyen 59, Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).
Pada November tahun lalu, media melaporkan seramai 201 individu termasuk 17 penjawat awam yang disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral atau songsang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Premis pusat spa dan kesihatan itu dipercayai menjadi lokasi golongan lelaki songsang berkumpul dan melakukan aktiviti tidak bermoral terbongkar dalam serbuan dijalankan oleh Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jawi, hasil risikan selama dua minggu.
Ketika serbuan dilakukan, beberapa pengunjung dilaporkan sedang menikmati kemudahan jakuzi dan sauna tanpa seurat benang sebelum menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Lebih mengejutkan, premis itu turut menyediakan bilik khas ‘dark room’ untuk pengunjung melampiaskan nafsu.
Difahamkan, ahli pusat tersebut diminta menanggalkan pakaian dan hanya diberikan tuala putih sebelum dibenarkan ke tingkat atas. – UTUSAN






