BERA: Aktiviti pelancongan di Tasik Bera di sini, boleh kembali dibuka namun pengalaman pahit yang berlaku di Tasik Chini di Pekan, dekat sini perlu dijadikan pengajaran penting bagi memastikan kelestarian ekosistem tidak tergugat.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, kerosakan ekologi di Tasik Chini berpunca daripada beberapa faktor termasuk tekanan penggunaan tasik berlebihan, penerokaan hutan dan pembukaan tanah yang menyebabkan hakisan permukaan, selain kegagalan kawasan zon penampan berfungsi.
“Perlu diingat bahawa Tasik Bera adalah Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) yang pertama Malaysia dan kawasan ini mesti sentiasa dilindungi dan dipulihara.
“Banyak keistimewaan Tasik Bera menjadi tarikan pelancong yang menggemari alam semula jadi, tetapi aktiviti pelancongan mesti dikawal selaras dengan kedudukannya sebagai Tapak Ramsar,” katanya kepada Nexbyte di sini.
Ahmad berkata, pihak penguatkuasa Tapak Ramsar sudah tentu memahami ekologi tasik dan pengurusan terbaik setelah lebih 30 tahun pengiktirafan antarabangsa diberikan kepada Tasik Bera.
“Justeru, masyarakat setempat, pengusaha pelancongan dan kerajaan negeri juga perlu faham tentang tanggungjawab menjaga tapak Ramsar ini.
“Pengalaman yang berlaku di Tasik Chini boleh dijadikan pengajaran umum demi kelestarian ekosistem Tasik Bera. Adalah diharapkan agar tiada konflik serius dalam pengendalian aktiviti pelancongan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi tapak Ramsar,” katanya.
Beliau berkata, menerusi kawalan dan pengurusan yang berkesan, ia mampu menjadikan Tasik Bera destinasi ekopelancongan unggul tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.
Setelah kira-kira 10 tahun ditutup kepada orang ramai, Tasik Bera, tasik air tawar semula jadi terbesar negara dibuka semula kepada umum bermula 1 Februari lalu sempena sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2026.
Tasik Bera diwartakan sebagai Tapak Ramsar pada 1994 dengan keluasan lebih 31,000 hektar merangkumi sistem paya gambut, sungai, tanah lembap dan hutan hujan yang menyokong lebih 200 spesies burung dan 95 spesies ikan.
Baru-baru ini, Mingguan Malaysia melaporkan, Tasik Chini yang pernah ketika dahulu menjadi kebanggaan negara dan ikon pelancongan alam sekitar bertaraf dunia, kini berdepan kemerosotan ketara apabila kerosakan ekosistem dan tiada daya tarikan semula jadi menghimpit kawasan itu.
Walaupun diiktiraf sebagai rezab biosfera, realiti di lapangan memperlihatkan tasik legenda itu seolah-olah dibiarkan tanpa usaha tuntas, sekali gus menjejaskan reputasinya sebagai tapak pemuliharaan dan pelancongan lestari. – UTUSAN






