JERANTUT: Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Pahang menyalurkan peruntukan khas bagi membaiki rumah seorang duda dua anak yang hidup daif di Felda Kota Gelanggi 4 di sini.
Peruntukan disalurkan selepas keadaan sebenar keluarga itu ditinjau secara langsung oleh pihak berkuasa negeri.
Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Razihan Adzharuddin berkata, kunjungan ke rumah Mat Noh Mohamed, 57, dibuat bagi melihat sendiri realiti kehidupan keluarga terbabit, susulan tular laporan tiada pihak tampil membantu mereka.
Katanya, hasil lawatan mendapati keadaan rumah yang tidak siap dan tidak terurus menjejaskan kebajikan keluarga berkenaan, menuntut tindakan pembaikan segera secara menyeluruh.
“Sebenarnya keluarga ini tidak terpinggir, malah telah menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), kerajaan negeri, Felda, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta sokongan pemimpin setempat,” katanya kepada Nexbyte, semalam.
Namun kata beliau, masalah pengurusan keluarga dan penjagaan anak menjadi cabaran utama selepas bapa berpisah dengan isterinya, manakala bekas isteri kembali ke Kelantan menyebabkan tanggungjawab dipikul sepenuhnya oleh si bapa.
Keadaan menjadi lebih meruncing apabila anak bongsu duda itu, Mohd. Adam, 7, mengalami komplikasi usus terkeluar sejak lahir, memerlukan penjagaan rapi dan peralatan perubatan khusus.
“Bekalan akan dihantar ke klinik berkenaan supaya urusan pengambilan lebih mudah dan berterusan,” katanya.
Menurut beliau, dengan bantuan yang disalurkan, pihaknya yakin kehidupan keluarga terbabit lebih terurus, sekali gus membuka ruang untuk mereka bangkit berdikari dan menjalani kehidupan lebih bermaruah.
“Kita sentiasa bersimpati dan komited memastikan tiada rakyat tercicir daripada pembelaan namun kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan setiap bantuan benar-benar memberi kesan kepada kesejahteraan keluarga,” katanya. – UTUSAN






