PETALING JAYA: Pengimportan sisa elektronik (e-waste) ke negara ini kini diklasifikasi di bawah kategori Larangan Mutlak mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan berkuat kuasa serta-merta bermula semalam.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan dan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 2/2026 sebagai langkah memperketat kawalan kemasukan sisa berbahaya serta melindungi alam sekitar.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, tindakan penguatkuasaan tegas dan bersepadu oleh semua agensi berkaitan adalah perlu bagi memastikan larangan itu dipatuhi sepenuhnya.
“E-waste tidak lagi dibenarkan masuk ke negara ini. Penguatkuasaan mesti dilaksanakan dengan tegas melibatkan semua agensi,” katanya di sini semalam.
Susulan keputusan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarahkan mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk meletakkan e-waste di bawah kategori Larangan Mutlak.
Sebelum ini, e-waste diletakkan di bawah kategori Larangan Bersyarat, yang membolehkan Ketua Pengarah JAS memberi pengecualian tertakluk kepada syarat tertentu seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat turut memutuskan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelarasan E-Waste yang akan dipengerusikan oleh Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Jawatankuasa itu perlu mengemukakan laporan kepada Pasukan Petugas Khas dalam tempoh seminggu bagi memastikan pengurusan e-waste dilaksanakan secara lebih sistematik dan berkesan.
Mesyuarat sama turut membincangkan cadangan pelaksanaan moratorium selama tiga bulan terhadap pengimportan sisa plastik.
Bagaimanapun, sebelum keputusan dimuktamadkan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama JPSPN dan SWCorp perlu mengemukakan data terperinci berkaitan sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi negara untuk pertimbangan Perdana Menteri.
Mesyuarat terbabit TURUT dihadiri Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Fazlisyam Abd Majid. – UTUSAN






