SEREMBAN: Penyanyi dan penghibur, Harun Tahir ,65, atau lebih dikenali sebagai Helmi Gimmick menganggap sambutan Aidilfitri tahun ini sebagai paling bermakna buat dirinya.
Ia selepas dia berjaya melalui detik sukar melawan kanser buah pinggang tahap empat.
Helmi berkata, pengalaman berdepan penyakit tersebut membuatkan dirinya berasa seolah-olah diberikan peluang kedua untuk hidup selepas menjalani pembedahan membuang buah pinggang kirinya pada 8 Januari lalu.
Menurutnya, dia disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap empat pada 9 September tahun lalu selepas membuat pemeriksaan kesihatan, namun menangguhkan rawatan kerana kekangan jadual seni.
“Apabila doktor beritahu kanser saya sudah tahap empat ketika itu saya rasa seperti tiada harapan lagi untuk hidup.
“Namun, selepas pembedahan tersebut berjaya saya menganggap diri saya seperti ‘mati hidup semula’. Sebab itulah raya kali ini merupakan kemenangan untuk saya,” katanya kepada Nexbyte ketika ditemui di kediamannya di Bandar Baru Nilai, di sini semalam.
Kongsinya, keadaan bertambah serius selepas dia mengalami pendarahan ketika membuat persembahan di acara Malam Lagenda Karyawan, Disember lalu.
Katanya, pemeriksaan lanjut di Hospital Tawakal mendapati terdapat ketumbuhan besar pada buah pinggang belah kirinya sebelum dirujuk kepada Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang untuk pembedahan segera.
“Doktor beritahu tumor itu sangat besar sehingga memenuhi bahagian bawah pinggang saya. Alhamdulillah selepas pembedahan, kanser itu tidak merebak ke organ lain dan saya juga tidak perlu menjalani rawatan kemoterapi. Tetapi saya masih lagi menerima rawatan susulan di Institusi Kanser Negara (IKN),” katanya.
Penghibur yang fasih tujuh bahasa itu berkata, sokongan keluarga terutama isteri dan anak-anaknya menjadi kekuatan buat dirinya sepanjang rawatan dan pemulihan selepas pembedahan.
“Sebelum pembedahan, saya sempat melihat pesakit lain satu per satu ‘pergi tidak kembali’ selepas bertarung melawan kanser. Apabila saya sedar selepas pembedahan, isteri dan anak-anak memeluk erat dan pada ketika itu saya rasa sebak dan hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Helmi berkata, beliau kini sudah kembali aktif memenuhi undangan mengacara majlis makan malam serta fokus untuk menjaga kesihatannya.
Beliau turut berterima kasih kepada rakan-rakan artis, agensi-agensi, individu yang tampil memberikan sokongan moral termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bantuan menerusi kunjungan Setiausaha Politiknya, Datuk Azman Abidin. – UTUSAN






