PUTRAJAYA: Kerajaan akan membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat seterusnya, Jun depan.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri menerusi mesyuarat Kabinet semalam.
“Kita berharap dan akan berusaha untuk memastikan ahli-ahli Parlimen kerajaan memberi sokongan penuh untuk hadir dan mengundi bagi meluluskan pindaan Perlembagaan yang sangat penting ini,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini semalam.
Isnin lalu, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Parlimen.
Mengulas lanjut, Menteri Komunikasi itu berkata, Jemaah Menteri turut diberikan taklimat oleh Ketua Whip Kerajaan, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai status lapan ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir untuk mengundi RUU itu.
“Seperti yang diketahui, di pihak Pakatan Harapan (PH) kehadiran ahli-ahli Parlimen adalah 100 peratus, manakala lapan ahli Parlimen kerajaan (yang tidak hadir) telah dinyatakan siapa mereka.
“Dimaklumkan bahawa daripada lapan ahli Parlimen itu, dua telah menulis (surat) secara rasmi untuk memberi penerangan dan penjelasan kepada Ketua Whip,” katanya.
Pada masa sama, Fahmi berkata, Jemaah Menteri juga telah dimaklumkan berhubung salah faham yang mungkin berlaku dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.
Sementara itu, Fahmi berkata, proses mengumpul maklum balas dan menambah baik RUU bagi mengasingkan peranan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka mengambil masa kira-kira tiga bulan.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi mesyua-rat Jemaah Menteri semalam.
Menurutnya, jawatankuasa dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan mengadakan mesyuarat pertama yang dijadualkan pada 16 Mac ini. – UTUSAN






