SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor akan memperkenalkan Program Peduli Rakyat 2.0 yang memfokuskan subsidi pengangkutan, skim perlindungan rakyat dan keselamatan makanan jika berjaya menguasai pentadbiran negeri itu.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tawaran itu merupakan antara resolusi utama Konvensyen Bersatu Selangor.
“Bersatu Selangor akan menyediakan pelbagai tawaran baharu kepada seluruh rakyat negeri itu termasuk bumiputera, bukan bumiputera, wanita, kumpulan B40, usahawan, Gen Z, pekerja gig serta lulusan universiti awam dan swasta.
“Bersatu Selangor akan memperincikan pelbagai pendekatan berkaitan kos sara hidup menerusi Program Peduli Rakyat 2.0 melalui subsidi pengangkutan dan skim perlindungan untuk rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Konvensyen Bersatu Selangor di sini semalam.
Turut hadir, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Azmin berkata, aspek keselamatan makanan turut akan diberi keutamaan dengan mengambil kira kesan ketegangan geopolitik global, termasuk serangan berterusan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
“Jika Bersatu Selangor kelak menguasai kerajaan negeri, insya-Allah dalam beberapa bulan lagi, kita akan memberikan tumpuan kepada aspek keterjaminan makanan,” katanya.
Menurutnya, pelbagai strategi akan diperkenalkan bagi mengangkat martabat ummah dan Negeri Selangor sekiranya parti itu diberi mandat membentuk kerajaan negeri.
Beliau berkata, Bersatu Selangor juga akan melakar strategi khusus dalam aspek pendidikan dan pembangunan bakat membabitkan ratusan ribu generasi muda, Gen Z dan graduan universiti di Lembah Klang.
“Bersatu Selangor akan memberi fokus yang serius dan mendalam kepada pelbagai kelemahan dalam hal ehwal tadbir urus yang wujud dalam pentadbiran ‘Daun Keladi’ pada hari ini,” katanya.
Dalam aspek identiti dan jati diri, Azmin berkata, Bersatu adalah parti politik abad ke-21 yang menekankan nilai integriti, ketelusan, akauntabiliti serta penolakan terhadap salah guna kuasa.
“Rasuah mesti diisytiharkan sebagai musuh utama negara dan negeri, manakala pemimpin serta ahli parti perlu bertindak secara berhemah, berdisiplin dan memiliki semangat setia kawan yang tulen.
“Walaupun perjuangan Bersatu berpaksikan kesejahteraan Bumiputera sebagai warganegara super-majoriti, parti itu tetap bersifat inklusif dan terbuka kepada kepelbagaian rakyat Selangor,” katanya. – UTUSAN






