PETALING JAYA: Pengusaha trak tunda memberi amaran akan melaksanakan mogok sepenuhnya sekiranya kerajaan terus berdiam diri terhadap permohonan subsidi diesel yang dikemukakan.
Pengerusi Persatuan Trak Tunda dan Pengangkut 1Malaysia (1MTTCC), Md. Yusof Yahya berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang maklum balas diterima daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak 2024 walaupun permohonan telah dihantar sejak tahun lalu.
Katanya, keadaan itu berlaku ketika industri berdepan tekanan kos operasi yang semakin meningkat susulan kenaikan harga diesel di pasaran.
“Harga diesel kini mencecah sekitar RM6.72 seliter dan ini memberi kesan langsung kepada kos operasi harian kami,” katanya kepada Nexbyte.
Menurutnya, kenaikan harga bahan api itu turut dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada pasaran tenaga global.
“Faktor luar seperti konflik di Asia Barat turut memberi tekanan kepada harga minyak dunia, dan akhirnya memberi kesan kepada kami di peringkat operasi,” katanya.
Md. Yusof berkata, permohonan subsidi diesel telah dikemukakan kepada KPDN sejak 2024, namun sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas diterima.
“Kami telah menghantar permohonan sejak 2024 kepada KPDN, tetapi sehingga hari ini masih belum menerima apa-apa jawapan,” katanya.
Katanya, selain isu bahan api, pengusaha turut berdepan tekanan apabila kadar caj perkhidmatan di bawah syarikat insurans tidak disemak sejak lebih lima tahun lalu.
“Struktur kadar sedia ada sudah tidak lagi relevan dengan kos semasa. Ia menekan pengusaha yang perlu menanggung peningkatan kos operasi,” katanya.
Md. Yusof turut mencadangkan supaya caj tunda kenderaan di bawah syarikat insurans dinaikkan antara 30 hingga 50 peratus bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan.
“Kalau kadar tidak disemak semula, pengusaha akan terus menanggung kerugian,” katanya.
Menurutnya, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memainkan peranan dalam memastikan syarikat insurans menyemak semula kadar bayaran secara lebih adil.
“BNM perlu melihat perkara ini secara serius supaya beban tidak hanya ditanggung oleh pengusaha,” katanya.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan sebahagian pengusaha trak tunda bertindak memulaukan tawaran perkhidmatan daripada syarikat insurans kerana kadar bayaran tidak lagi sepadan dengan kos semasa. – UTUSAN






