PUTRAJAYA: Bekalan minyak dan gas negara kekal terjamin meskipun berdepan tekanan kenaikan harga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini Malaysia adalah antara negara ASEAN yang terjamin bekalan minyak dan gas hasil hubungan diplomatik yang baik dengan Iran, Russia, Turkmenistan dan Uzbekistan.
“(Ketika ini) bekalan memang ada. Kita bernasib baik, Malaysia di antara negara ASEAN yang terjamin bekalan minyak dan gasnya.
“Jaminan itu diperoleh hasil hubungan diplomatik yang baik, termasuk dengan Iran yang antara negara awal memberi laluan kepada Malaysia susulan komunikasi di peringkat tertinggi.
“Semalam (kelmarin), Tan Sri Mohd Hassan Marican (Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis Majlis Tindakan Ekonomi Negara) bagi maklumat terkini dari Petronas tentang usaha-usaha kita,” katanya pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRESS) di sini, semalam.
Anwar bagaimanapun berkata, walaupun bekalan terjamin, peningkatan harga bahan api itu adalah cabaran utama yang perlu ditangani kerajaan.
Menurutnya, kerajaan kini terpaksa menanggung RM5 bilion kos subsidi bahan api sebulan bagi memastikan harga RON95 kekal pada kadar semasa iaitu RM1.99 seliter, susulan ketidaktentuan harga minyak akibat konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri berkata, jumlah itu meningkat mendadak berbanding RM700 juta sebulan ditanggung kerajaan sekitar Januari lalu.
Beliau berkata, jika harga itu kekal meningkat, kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi lebih tinggi pada masa depan.
“Kalau harga setakat sekarang, RM5 bilion satu bulan. Bayangkan 10 bulan, RM50 bilion dari dana kerajaan,” katanya.
Harga minyak mentah Brent ketika ini didagangkan pada kadar AS$109.7 (RM433.97) setong meningkat 1.56 peratus, manakala WTI pula AS$103.3 (RM408.69 ) setong, naik 1.33 peratus. Gas asli turut meningkat 0.07 peratus kepada AS$2.846 (RM11.27) per MMBtu (British Thermal Unit).
Kenaikan harga minyak mendorong kejatuhan harga emas untuk dua minggu berturut-turut sebanyak 0.5 peratus kepada di bawah AS$4,000 (RM15,825.59) seauns.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menjelaskan, langkah penjimatan diambil kerajaan tidak menjejaskan pengambilan doktor dan jururawat baharu.
Malah kata beliau, langkah itu juga tidak memberi kesan kepada sektor perubatan termasuk pembinaan klinik, kerana yang dikurangkan hanya skop pembinaan hospital mewah.
Dalam sektor pendidikan pula, Anwar berkata, walaupun terdapat pengurangan peruntukan di peringkat kementerian, pembinaan bilik darjah dan kelas baharu bagi menampung kemasukan pelajar tetap diteruskan.
“Jadi, yang kita rasa berlebih perbelanjaan besar-besar bagi kursus-kursus berlebih-lebih sangat. Kalau kursus yang ada dalam negara, hantar dalam negara, tidak (perlu) di luar negara.
“Kemudian, majlis-majlis di hotel-hotel mewah dihentikan, dibuat di kementerian. Kemudian skop pembinaan yang kadang-kadang melebihi daripada keadaan biasa, itu dikurangkan,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan mengakui wujud kenaikan kos sara hidup dan harga barangan, sedaya upaya akan mengurangkan beban rakyat khususnya dalam sektor tertentu meskipun kos yang ditanggung kerajaan bakal meningkat. – UTUSAN






